NasionalPolitik

Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri perlu dipertahan – perwakilan UMNO

BEBERAPA perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO hari ini membangkitkan keperluan untuk Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dipertahankan serta tidak melakukan perkara yang boleh melemahkan parti.

Memetik laporan Bernama, Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Shafie Abdullah menggesa supaya tiada pihak memperlekehkan perdana menteri yang juga naib presiden parti.

“Saya berharap PM, kami tidak mahu anda dibuli oleh orang lain, kita merangkak beramai-ramai walaupun dalam krisis, (sehingga) akhirnya semua Ahli Parlimen Umno menyokong Ismail menjadi PM,” katanya semasa perbahasan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2021.

Suara agar kepimpinan dan ahli Umno tidak melakukan perkara boleh melemahkan kekuatan parti dibawakan Perwakilan Melaka, Mustafa Musa.

“Jangan ada dusta antara kita, jangan ada kata bersalut dengki, jangan mengupah untuk membunuh karakter kawan, jangan juga ada batu api, pengadu domba dan pencium tangan dan pipi untuk kem-kem tertentu.

“Tamat dan hentikanlah kerana perkara yang tak bermaruah ini akan lemahkan Umno. Beri kepercayaan kepada ‘top five’ (kepimpinan) dan di dalamnya ada perdana menteri. Bincanglah dengan penuh kasih sayang sebab kasih sayang itu terlalu indah dikenang…elak pentingkan diri sendiri…cubit paha kanan paha kiri terasa,” katanya.

Dalam pada itu, wakil dari Perlis, Wan Saiful Daniel Mohd Yusof meminta semua perwakilan menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan segala keputusan dan strategi, termasuk berkaitan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Segala isu yang berkaitan Umno biarlah pucuk pimpinan ambil keputusan kerana merekalah yang akan menyusun segala strategi isu-isu yang mendatang,” katanya.

Pewakilan dari Kedah, Othman Aziz berkata rakyat mula meyakini kerajaan, apabila tampuk pentadbiran negara diterajui barisan kepimpinan daripada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Mereka (rakyat) lebih faham dan yakin sejak kita (Umno) jadi perdana menteri dan barisan Kabinet kerana (apabila) Umno dan BN yang berpengalaman dalam urus tadbir negara, masalah negara lebih tersusun, walaupun kita berhadapan pandemik Covid-19 dan banjir besar.”

Terdahulu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan perhimpunan itu antaranya menekankan kerajaan dan parti perlu bergerak seiring demi membangunkan negara serta memberi kepercayaan kepada Ismail memimpin kerajaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button