Agama

Islam Ahli Sunnah wal Jamaah jadi agamanya antara empat jatidiri yang harus dipegang sebagai Melayu Perlis – Pemangku Raja Perlis

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Rakyat Negeri Perlis hendaklah menghayati empat teras Jati Diri Melayu Perlis dengan sungguh-sungguh dalam kehidupan bernegeri dan pembinaan tamadun.

Teras tersebut adalah “Jamalullail jadi Rajanya, Islam Ahli Sunnah wal Jamaah jadi agamanya, Melayu jadi bahasanya, Adat Istiadat Perlis jadi pelengkapnya”.

Pada masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru agar Islam wajib dijadikan panduan utama kerana tanpa Islam bangsa Melayu akan kehilangan jati diri.

Pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sedang meneliti supaya dapat menerapkan modul jati diri watan Perlis kepada generasi muda dan penerapan ini diharap dapat dimulakan dari peringkat pra-sekolah ke peringkat Sekolah Rendah, menerusi peringkat SAPPs dan akhirnya ke peringkat IPT khasnya di KUIPs.

Tuanku Pemangku Raja bertitah, ‘Konsep jati diri Melayu adalah berpaksikan kepada beberapa prinsip utama iaitu Islam sebagai agama dan sistem kepercayaan yang menjadi teras kepada jati diri bangsa Melayu dan Penghayatan nilai tauhid dalam sistem kehidupan sama ada dalam entiti keluarga, masyarakat ataupun negara’.

“Perwatakan, adab dan kesusilaan orang Melayu adalah berasaskan prinsip tauhid dan hukum syarak. Mana-mana adat yang menyalahi syarak ditinggalkan atau dimodifikasi supaya selaras dengan syarak”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Seminar Antarabangsa Peradaban Ummah “Islam Jati Diri Melayu” Tahun 2024 Sempena Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis Yang ke-81 di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis, Jalan Raja Muda, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang menyampaikan ucaptama.

Seminar ini telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang turut disertai oleh para ilmuwan agama Islam dan Bahasa Melayu dari Brunei DS, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian dan pengurniaan anugerah kepada 10 orang pembentang yang terlibat menjayakan seminar ini.

Pembentang-pembentang tersebut adalah Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Bupati Provinsi Siak, Indonesia, Datuk Drs. Hj Alfedri, Prof. Dr. Khairudin Aljunied dari Jabatan Pengajian Melayu, National University of Singapore, Dr. Bibi Noraini Yusof yang mewakili Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dari Faizuddin Centre of Educational Excellence dan KUIPs serta Ketua Majelis Tarjih Pimpinan Pusat Muhammadiyah Indonesia, Prof. KH. Dr. Syamsul Anuar.

Turut terlibat sama, Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Hj. Hazman Hassan, Ketua Muhammadiyah Provinsi Riau Indonesia, Dr. Muhammad Saidul Amin, Prof. Dr. Ahmad Umar Chapakiya dari Fatoni University, Thailand, Dr. Hj. Tassim Abu Bakar dari Universiti Negara Brunei dan Prof. Dr. H. Nazir Karim dari Indonesia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button