Ekonomi

IPO CEKD terlebih langganan 131.61 kali

Tawaran Awam Permulaan (IPO) CEKD Bhd telah terlebih langganan sebanyak 131.61 kali menjelang penyenaraian Kumpulan ini di Papan ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

CEKD ialah penyedia rumusan acuan pemotongan serta pengilang acuan pemotongan dan pedagang barangan pengguna, peralatan dan aksesori.

Pengarah Urusannya, Yap Kai Ning berkata, pihaknya sangat menghargai keyakinan teguh para pelabur terhadap CEKD, perniagaan, prospek dan perancangan masa depan kumpulan.

“CEKD menjana RM24.28 juta daripada proses IPO ini. Hasil daripadanya, akan digunakan oleh Kumpulan sebanyak RM8.8 juta bagi pengambilalihan kilang bagi Hotstar; RM3 juta bagi pembelian mesin baharu, RM1.3 juta untuk menambah baik dan pembangunan perisian dan pelayan komputer, RM3 juta bagi pembayaran balik pinjaman bank, manakala bakinya akan diguna bagi aktiviti pemasaran, modal kerja am dan perbelanjaan penyenaraian,” katanya di sini hari ini.

Kai Ning berkata, IPO ini hanyalah permulaan perjalanan dengan pelan perluasan akan memberi dorongan kepada pertumbuhan perniagaan kumpulan.


Selain itu, ia juga sebahagian daripada strategi bagi meningkatkan pengautomasian dan kapasiti bagi memenuhi permintaan pelanggan sedia ada dan baharu.

Untuk IPO ini, sejumlah 18,884 permohonan diterima bagi 1,290,183,500 saham baharu bernilai RM619,288,080.00 daripada rakyat Malaysia, yang mewakili keseluruhan kadar terlebih langganan sebanyak 131.61 kali.

Bagi saham peruntukan Bumiputera, sebanyak 10,413 permohonan untuk 593,591,600 saham baharu telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 121.03 kali.

Bahagian orang awam pula, sebanyak 8,471 permohonan diterima untuk 695,591,900 Saham baharu, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 142.20 kali.

Sementara itu, sebanyak 9,729,000 saham baharu yang diperuntukkan untuk pengarah dan kakitangan serta individu perseorangan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan juga telah dilanggan sepenuhnya.

Selain itu, agen penempatan mengesahkan bahawa sebanyak 31,132,000 saham yang diperuntukkan menerusi kaedah penempatan persendirian juga telah diambil sepenuhnya.

Notis pengundian akan dihantar secara pos kepada pemohon yang berjaya pada atau sebelum 28 September 2021.

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan agen penempatan bagi pelaksanaan IPO ini.

Penyenaraian CEKD di Papan ACE Bursa Securities dijadualkan pada 29 September 2021.

(Visited 20 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button