Uncategorized

Insiden MH17: Malaysia berpuas hati dengan keputusan Mahkamah The Hague

Pada 17 November 2022, jam 1:30 petang waktu tempatan di Belanda, Mahkamah Daerah The Hague telah memutuskan bahawa tiga orang tertuduh dalam kes pesawat MH17 yang telah ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Leonid Kharchenko bersalah dalam kes jenayah tersebut. Manakala, mahkamah telah membebaskan Oleg Pulatov kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh
dalam sabitan kesalahan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kes jenayah di Belanda ini menjadi satu tanda aras yang penting dalam usaha untuk mencari kebenaran serta menegakkan keadilan kepada kesemua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi penerbangan tersebut serta kepada semua waris mangsa.

“Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab.

“Dalam hubungan ini, Malaysia menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah The Hague pada hari ini,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus yang dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda, berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang telah lama dinanti-nantikan.

“Malaysia mewakili semua pihak yang terkesan akibat peristiwa yang amat meruntun hati ini, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Pasukan Penyiasat Bersama (Joint Investigation Team – JIT)
yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang telah bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan jenayah antarabangsa terhadap tragedi MH17 ini.

“Malaysia sekali lagi ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17,” kongsi Ismail Sabri.

Walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka mahupun mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga dan orang tersayang, keputusan mahkamah pada hari ini diharap sedikit
sebanyak akan dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga dan waris kepada mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button