Ini nasihat Rafizi kepada Anwar supaya tidak ‘dipenjara’ pembodek
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa presiden parti, Anwar Ibrahim, supaya waspada terhadap golongan “pembodek” di keliling beliau yang membawa “budaya samseng dan politik menabur duit serta janji.”
Rafizi berkata beliau sudah memberikan peringatan itu kepada Anwar sebelum ini, namun membayangkan kumpulan “pembodek” itu masih belum disisihkan oleh Ketua Pembangkang itu.
“Saya jenis yang tak suka bercakap benda sama berulang-ulang. Kalau dah nasihat itu telah diberi dan nampaknya tidak berkesan, maka biarlah Anwar tanggung sendiri risiko menyimpan jenis-jenis opportunis di keliling beliau,” kata Rafizi dalam facebooknya.
Rafizi tidak menamakan sesiapa tetapi menegaskan Anwar perlu berhati-hati supaya pengkhianatan lalu ke atasnya oleh Azmin Ali tidak berulang.
“Ramai tahu dan sedar ada beberapa kerat yang mengelilingi Anwar adalah opportunis haprak yang membawa budaya berbahaya dalam parti. Mereka membawa budaya gangster dan politik wang menabur duit dan janji,” kata Rafizi.
“Anwar perlu pandai pilih orang kelilingnya yang menjadi penjaga tol ke pejabatnya. Dulu pilih Azmin, tengok apa yang jadi. Yang ada sekarang pun dua kali lima,” kata Rafizi.
Azmin, menjadi orang kanan Anwar untuk sekian lama tetapi akhirnya berpaling tadah dengan membawa keluar sejumlah Ahli Parlimen PKR untuk bergabung dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.
Rafizi berkata, individu yang kini “menghimpit” Anwar tidak berjuang membebaskan Anwar semasa beliau dipenjarakan, berbeza dengan pengorbanan pemimpin lain yang dipenjarakan.
“(Tetapi) bila (PKR dan Pakatan Harapan) dah menang tahun 2018, berhari-hari dia berkampung di depan Hospital Cheras untuk mula menempel. Tiba-tiba, menjadi pembela parti dan orang paling setia kepada Anwar Ibrahim, sedangkan tindak-tanduk mereka boleh menjatuhkan parti dan Anwar,” katanya.
Rafizi berkata “puak pembodek” berkenaan kini mensasar untuk menjatuhkan pemimpin yang lantang bersuara seperti Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir, demi keuntungan diri.
“Sekarang mereka mula pula sasarkan pimpinan seperti Akmal untuk diburukkan supaya mana-mana pimpinan yang boleh ada pandangan bebas dan kekuatan yang boleh mengancam mereka menjadi pembodek tegar; perlu disingkirkan dengan cara ini,” kata Rafizi.
Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana individu yang berhasrat menunggang parti demi kekayaan dan kedudukan peribadi supaya tidak mengacaunya.
“Kalau species ini banyak buat kacau, boleh saja saya kacau balik.”
Rafizi Ramli terdahulu tampil memberi peringatan kepada Anwar supaya bertindak segera terhadap pihak tertentu dalam parti yang dianggapnya sebagai golongan pembodek di sekeliling ahli parlimen Port Dickson itu.
Kata Rafizi “budak-budak” terbabit hanya muncul selepas Anwar dibebaskan dari penjara dan dilihat berpeluang besar untuk menjadi perdana menteri.
“Ini permainan budak-budak keliling Anwar Ibrahim yang hanya muncul lepas beliau dibebaskan dari penjara dan menjadi bakal perdana menteri; yang sangat kuat membodek demi tempat (kedudukan atau jawatan) kalau beliau (Anwar) jadi perdana menteri,” katanya melalui ciapan di Twitter, hari ini.
Bekas anggota Parlimen Pandan itu berkata demikian sebagai mengulas isu melibatkan Ketua Pemuda PKR (AMK), Akmal Nasir, yang didakwa mempersendakan Anwar dalam satu perbualan tertutup melalui aplikasi WhatsApp.
Ekoran penularan pandangan Akmal itu beberapa pimpinan AMK tampil menggesa supaya dia meletakkan jawatan.
Rafizi dan Akmal diketahui merupakan penyokong kuat Anwar dan memihak kepadanya dalam persaingan dalaman parti berbanding kem Azmin Ali.
Rafizi berkata, Anwar juga perlu bertindak segera terhadap individu pembodek yang dimaksudkannya itu.
“Kalau Anwar tidak segera bertindak, beliau akan pikul biawak hidup. Saya dah nasihat lama,” katanya.