Ekonomi

Industri tenaga solar berpotensi jadi enjin pulih ekonomi negara

INDUSTRI tenaga solar mempunyai potensi yang besar sebagai enjin untuk memulihkan semula ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn Bhd, Datuk (Dr.) Ir. Guntor Tobeng yang juga Profesor Adjung Universiti Perguruan Sultan Idris  berkata, Malaysia ketika ini merupakan negara pembuat dan pengeluar panel solar kedua terbesar di dunia.

“Kita ada syarikat gergasi pengeluar panel solar, Risen Solar yang melabur RM42 bilon di Malaysia dan membuka 3,000 peluang pekerjaan. Kita ada beberapa syarikat lain.

“Industri tenaga solar boleh bawa banyak perubahan kepada Malaysia terutama apabila kita cuba memulihkan semula ekonomi.

“Ini adalah masa yang terbaik untuk melihat semula dan memberikan lebih banyak peluang kepada industri solar untuk membina semula perniagaan, membina semula ekonomi dan menaikan semula Keluaran Dalam Negara Kasar dan kita boleh kembali semula sama sebelum negara dilanda Covid-19 dalam tempoh yang pendek,” kata Guntor.


Pemilik dua ladang solar berskala besar di Malaysia itu antara pembentang dalam webina bertajuk “Peluang Pelaburan dalam Tenaga Diperbaharui: Prospek Industri Solar di Malaysia” sempena Minggu Tenaga dan Utiliti ASEAN hari ini.

Menurut Guntor, pasaran industri tenaga solar di Malaysia mempunyai bakat tempatan dalam industri yang mempunyai kemahiran tinggi setaraf global.

Tambahnya, kerajaan kini menyasarkan penggunaan tenaga solar dan tenaga boleh diperbaharui dari 6 peratus sekarang kepada 30 peratus pada tahun 2025 dan 40 peratus menjelang tahun 2035.

Sementara itu Presiden Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia (MPIA) Davis Chong berkata, kerajaan perlu memberi pemotongan cukai bagi menggalakkan pengguna memasang panel solar di atas bumbung di kediaman masing-masing,

Manurutnya terdapat 3,200,000 rumah di Malaysia yang mempunyai potensi untuk pemasangan panel solar di atas bumbung bagi menjana tenaga elektrik yang boleh digunakan oleh pemilik sekaligus mengurangkan bil tenaga dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

“Bila kita naik pesawat, kita boleh lihat banyak bumbung-bumbung rumah ini tidak digunakan untuk memasang panel solar bagi membekalkan tenaga yang boleh diperbaharui.

“Kita harap kerajaan boleh memberikan pemotongan cukai kepada isi rumah sebagai galakan kepada mereka untuk memasang panel solar,” katanya.

Tambah Davis, terdapat 450,000 rumah kedai, 90,000 kilang besar dan 21,000 kilang kecil, 1,000 pusat membeli-belah dan 5,000 bangunan dan pejabat kerajaan yang turut berpotensi untuk pemasangan panel.

Katanya, tahun lalu pemasangan panel solar di bumbung kediaman menghasilkan tenaga elektrik berkapasiti 19.6 megawatt manakala bangunan bukan kediaman pula menghasilkan  tenaga 426 megawatt.

Webina selama sejam yang turut menampilkan Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi Hijau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Ruzlisham Mat Diah itu dikendalikan oleh Ketua Pembangunan Perniagaan Antah Solar Sdn. Bhd, Akmaludin Zakri Tunku Zuhri.-SM

(Visited 699 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button