Nasionalpilihan

4,690 keluarga miskin tegar di Kuala Lumpur akan dibantu

SEBANYAK 4,690 keluarga miskin tegar di Kuala Lumpur akan dibantu secara terus bermula 14 Julai depan di bawah program Jejak Prihatin.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau telah pun selesai memberi taklimat kepada wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan Prihatian Volunteers (PRIVO).

“Mereka akan pergi ke setiap 4,690 buah rumah keluarga miskin tegar di Wilayah Persekutuan untuk meninjau keadaan mereka serta memberi bantuan,” katanya.

Menurut Annuar, Jejak Prihatin juga akan menyampaikan maklumat mengenai bantuan Prihatin Kasih di mana mereka boleh menerima bantuan RM100 sebulan untuk tempoh tiga bulan.

Jelasnya, bantuan itu akan diberikan melalui Mykad mereka untuk membeli barang keperluan harian masing-masing.

“Setakat ini terdapat 10,650 keluarga miskin di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Kelmarin, Annuar memberitahu pihaknya telah menggerakkan sebanyak 1,400 sukarelawan dan 1,000 ahli Majlis Perwakilan Penduduk bagi menyantuni lebih 7,000 keluarga miskin dan miskin tegar di sekitar ibu negara menerusi program Jejak Prihatin bermula 15 Julai ini.

Annuar berkata, selain bantuan keperluan asas, program itu juga  bertujuan memberi sokongan moral kepada keluarga yang mengalami tekanan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau disebabkan kehilangan ahli keluarga.

“Mereka mungkin mempunyai makanan yang cukup, tetapi memerlukan sokongan dan perhatian serta perlu tempat mengadu masalah pada waktu sukar ini.

“Saya tidak mahu mereka sampai ke peringkat perlu mengibarkan bendera putih, jadi kita mahu ambil langkah proaktif,” katanya. -SM

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button