Individu cuba lakukan perjalanan rentas negeri boleh dihukum
MANA-MANA individu yang cuba melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran boleh dihukum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata ketika ini sekatan jalan raya di plaza tol seluruh negara telah mula dilaksanakan untuk mengelakkan perjalanan rentas negeri.
“Sekatan jalan raya di plaza tol telah mula dilaksanakan bagi mengelakkan rentas negeri dan seperti yang saya katakan sebelum ini, perjalanan rentas negeri yang dibenarkan adalah empat hari sahaja melalui permohonan aplikasi Gerak Malaysia.
“Selepas daripada tempoh itu (kebenaran bergerak melalui aplikasi Gerak Malaysia berakhir) kembali kepada normal, tidak boleh melakukan rentas negeri kecuali dengan kebenaran polis. Maknanya sesiapa sahaja yang merentas negeri tanpa kebenaran polis tentu sahaja akan diambil tindakan,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata pihak polis masih boleh mengenakan kompauan atau membawa mereka ke mahkamah untuk dihukum.
Pada masa sama katanya, cadangan berhubung prosedur operasi standard (SOP) aktiviti keagamaan secara berkumpulan di rumah ibadat bagi agama lain akan dibentangkan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selewat-lewatnya Selasa depan.
Katanya, SOP itu akan dibentangkan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Beliau berkata selepas kerajaan memberi kelonggaran dengan SOP tertentu untuk umat Islam beribadat di masjid, penganut agama lain turut memohon supaya mereka turut diberi kelonggaran yang sama dengan mengikut SOP ditetapkan.
“Menteri Perpaduan Negara diarahkan pada mesyuarat Kabinet untuk melihat perkara ini dan berbincang dengan wakil kepimpinan lima agama yang terbesar di negara ini selain Islam iaitu Kristian, Buddha, Hindu, Sikh, dan Taoism.
“Saya difahamkan Menteri Perpaduan akan membentangkan cadangan mereka pada hari esok dalam mesyuarat khas menteri-menteri atau selewat-lewatnya pada Selasa depan dan selepas itu kita akan membuat keputusan,” katanya.
Mengenai perjalanan hari pertama selepas kerajaan memberi kelonggaran kepada masjid, surau Jumaat dan surau terpilih untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat jemaah bermula hari ini, Ismail Sabri berkata laporan penuh akan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
“Jika terdapat ketidakpatuhan, mungkin kita terpaksa meletakkan polis atau mana-mana anggota beruniform bagi memastikan kepatuhan itu dilaksanakan,” katanya. – BERNAMA