fbpx
Politik

Cara Riduan diturunkan pangkat memalukan – Kit Siang

PENURUNAN pangkat secara serta-merta, yang memalukan dan drastik terhadap bekas Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat, di mana beliau tidak diberikan notis 24 jam sekalipun, telah menimbulkan persoalan.

Ia sama ada kerajaan Perikatan Nasional komited terhadap prinsip utama Perlembagaan Persekutuan yang berasaskan doktrin pemisahan kuasa di antara cabang eksekutif, Parlimen, dan kehakiman negara.

“Adakah ini satu cubaan bongkak oleh Kabinet untuk menunjukkan ketidak-puasan hatinya terhadap usul tidak percaya kepada Perdana Menteri yang dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir yang telah diterima oleh pihak Parlimen?

“Perkara ini yang juga telah menyebabkan pihak Kerajaan memendekkan lagi persidangan Parlimen dengan mengehadkan aturan urusan mesyuarat kepada istiadat pembukaan dengan penyampaian Titah Diraja sahaja,” kata veteran DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan di blognya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, dalam notis tersebut, Riduan telah melampirkan takwim satu muka surat bagi persidangan 18 Mei ini.


Katanya, perkara itu telah menimbulkan persoalan sama ada notis-notis yang pernah dihantar sebelum ini berkenaan dengan takwim Parlimen juga mungkin diubah pada masa hadapan.

“Di dalam notis beliau yang dihantar kepada semua Ahli Parlimen pada 17 April, Riduan telah melampirkan takwim persidangan Parlimen yang telahpun disemak dua kali, dengan 25 hari persidangan bermula pada 13 Julai sehingga 27 Ogos, dan 36 hari persidangan untuk membahaskan Belanjawan 2021 bermula pada 28 September sehingga 26 November.

“Takwim Parlimen untuk tahun ini telah pun diubah dua kali,” katanya.

Katanya, dalam notis beliau yang bertarikh 4 Mac, Riduan telah memaklumkan kepada semua Ahli Parlimen yang Parlimen akan bersidang selama 15 hari, bermula daripada 18 Mei sehingga 23 Jun (dengan lapan hari diperuntukan untuk perbahasan menjunjung Titah Diraja, lima hari untuk jawapan menteri, dan satu hari untuk lain-lain urusan hal ehwal kerajaan).

“Kemudiannya 17 hari persidangan bermula 27 Julai sehingga 27 Ogos dan diakhiri dengan 36 hari persidangan untuk membahaskan Belanjawan 2021 bermula pada 28 September sehingga 19 November — sejumlah 71 hari persidangan untuk tahun 2020.

“Takwim bertarikh 4 Mac ini juga telah berbeza dengan takwim yang pertama yang dimaklumkan pada awal tahun ini oleh bekas Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah yang menyatakan Dewan Rakyat akan bersidang untuk 24 hari bermula 9 Mac sehingga 16 April, diikuti dengan 21 hari persidangan bermula 20 Julai sehingga 27 Ogos, dan diakhiri dengan 32 hari persidangan untuk membahaskan Belanjawan bermula pada 28 September sehingga 19 November — sejumlah 77 hari persidangan dalam tahun 2020,” katanya.

Setakat ini, kata Kit Siang, takwim Parlimen telahpun dipendekkan daripada 77 hari kepada 62 hari. Perbahasan Ahli Parlimen untuk usul menjunjung Titah Diraja juga telah dipendekkan daripada lapan hari ke empat hari.

“Adakah takwim Parlimen akan dipendekkan lagi untuk tahun ini?” Tanya beliau. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button