fbpx
Nasional

PKP kekal SOP seperti biasa di bulan Ramadan – Ismail Sabri

TREND ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa mengira darjat, pangkat dan status kekal sama di bulan Ramadan.

Orang ramai terus dinasihatkan agar mematuhi PKP walaupun di bulan Ramadan kerana tiada perbezaan SOP dengan hari-hari biasa.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semua rakyat Malaysia, tiada yang terkecuali dan mereka semua perlu patuh peraturan PKP. “Tidak ada sesiapapun mengatasi undang-undang di negara kita. Semua perlu patuh setiap arahan sewaktu PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar harian, hari ini.


Beliau juga memberitahu media hari ini, bekalan makanan di kawasan atau zon Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) tidak perlu bimbang.

Ini kerana katanya, bantuan makanan kepada rakyat Malaysia di zon atau kawasan-kawasan PKPD memang ditanggung kerajaan.

“Bekalan makanan ini untuk rakyat Malaysia. Ya, rakyat Malaysia,” tegasnya.

Menjawab soalan pemberita berhubung PKPD Selayang yang mana ada yang berjaya melarikan diri dari pasar borong, begini jawapan Ismail Sabri:

“Untuk yang terlepas lari, polis mengesan mereka. Itulah sebabnya kenapa PKPD dilaksanakan, tidak ada hebahan sebelum ditutup.

“Kita tutup dulu malam, pukul 2, kita umum sebab takut mereka lari. Kalau beri tempoh dua hari, tentu sahaja mereka lari.

“Di Selangor Mansion, dua yang lari COVID-19 positif. Kita terpaksa menggunakan bantuan polis PDRM untuk menangkap mereka yang lari.

“Jika dibiarkan, boleh dijangkiti dan merebak. Sebab itu, kita tidak umum. Boleh kita pantau dan lakukan ujian kesihatan dan saringan kesihatan bagi memastikan mereka ini benar-benar bersih.

“Jika COVID positif, kita terus hantar mereka ke hospital.”

Berhubung dengan keadaan warga emas yang memerlukan penjagaan daripada pusat penjagaan atau care givers, golongan ini diberi kelonggaran dalam PKP.

“Warga emas, care givers diberi kelonggaran. Mereka dibenarkan menjaga tetapi diharap mereka berunding dengan Pegawai Kebajian di Pusat Operasi dan sila minta bantuan daripada Pusat Operasi,” jelas Ismail Sabri.

Bagi operator kedai makan pula, beliau berkata, waktu dibenarkan ialah dari pukul 3 petang sehingga 10 malam.

“Kekal SOP yang lama. Kita cuba kurangkan pergerakan di seluruh negara kerana bila berlaku terlalu banyak pergerakan, mungkin akan menyebabkan pematuhan tidak dapat dilaksanakan,” katanya. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button