Nasional

Implikasi besar jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan

USUL undi tidak percaya dan perbelanjaan pembangunan tidak berlaku antara implikasi besar jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan dalam Sidang Parlimen nanti.

Ia secara tidak langsung menunjukkan kerajaan lemah, menghadapi krisis dan kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Oleh demikian, terdapat beberapa perkara yang akan berlaku seperti Yang di-Pertuan Agong perlu melantik Perdana Menteri Baharu ataupun mengadakan pilihan raya.

Walau bagaimanapun, pilihan tersebut adalah suatu sukar dilaksanakan apabila negara kini sedang berhadapan dengan krisis pandemik Koronavirus (Covid-19).

“Tidak silap saya pernah jadi dahulu Belanjawan diluluskan agak lewat sebab berlaku pilihan raya pada akhir tahun.

“Namun, jika Belanjawan tak diluluskan, apa yang mungkin terjadi adalah selepas itu mungkin ada usul undi tidak percaya.

“Kalau ada usul undi tidak percaya, sama ada Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri yang baharu ataupun membuat pilihan raya.

“Tetapi kedua-dua opsyen sama ada melantik PM baharu ataupun pilihan raya akan membolehkan Belanjawan itu akhirnya diluluskan cuma lewat.

“Kalau lantik Perdana Menteri baharu mungkin dapat diluluskan dalam akhir tahun ini, kalau pilihan raya mungkin awal tahun hadapan.”

Demikian jangkaan implikasi yang dijelaskan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Putra, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Tambah beliau, tanpa kelulusan Belanjawan 2021, perbelanjaan kritikal kerajaan tetap boleh berjalan seperti pembayaran hutang, gaji kakitangan awam dan sebagainya.

Kecuali perbelanjaan pembangunan yang memerlukan kelulusan dalam Dewan Rakyat tidak dapat dilaksanakan.

Justeru, disebabkan oleh implikasi besar seperti dinyatakan, pelaksanaan Perintah Darurat adalah dilihat perlu untuk memastikan perbelanjaan untuk menghadapi krisis pandemik dapat dibuat.

“Jadi, kalau ikut dalam konteks darurat sebenar, bukan darurat seperti dahulu, nampaknya dari segi hanya untuk meredakan ketidaktentuan politik, ekonomi dan kesihatan sepatutnya macam biasa.

“Cuma, ia bersifat politik, tetapi kesan tetap ada, dari segi usaha kerajaan untuk memulihkan kesan Covid-19 dan juga ekonomi.

“Kesannya ialah, pertama ramai menganggap apabila darurat ini dilaksanakan ia membolehkan kerajaan meluluskan Belanjawan 2021 sebab tak mahu ada isu tidak diluluskan dan juga mungkin kerajaan terpaksa bertukar atau pilihan raya yang menyebabkan boleh berlaku berisiko jangkitan pandemik lebih tinggi.

“Jadi, secara ringkas nampak macam hanya untuk memastikan bahawa Belanjawan dapat diluluskan,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmed Razman menyatakan penekanan yang perlu diberikan perhatian adalah kesan jika Perintah Darurat dilaksanakan iaitu berkaitan pelaburan.

Pelaksanaan Perintah Darurat menandakan kerajaan sedang berhadapan krisis, oleh demikian ia mengurangkan keyakinan pelabur tempatan dan juga asing.

“Petang semalam (Jumaat) Bursa Saham menunjukkan penurunan yang mendadak pada dan juga Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) pun kembali lemah iaitu RM4.15.

“Kenapa ini berlaku, sebab jika darurat dilaksanakan ini menunjukkan bahawa kerjaaan sekarang ini menghadapi krisis, mungkin tidak mempunyai suara majoriti dalam Parlimen.

“Ini menunjukkan kerajaan yang lemah, susah untuk mendapat sokongan majoriti.

“Disebabkan itu, sukar untuk pelabur mendapat keyakinan bahawa kerajaan ini bakal kekal ataupun bertukar pada bila-bila.

“Yang perlu diberi perhatian sebenarnya keyakinan peniaga, pelabur hanya dapat dicapai melalui kestabilan politik kalau sekarang ini ia adalah petanda bahawa politik tak stabil,” tegasnya.

Sejak semalam laporan mengatakan kerajaan akan melaksanakan Perintah Darurat hangat dimainkan akhbar tempatan susulan Mesyuarat Khas Kabinet yang berlangsung semalam.

Ia dikuatkan lagi selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz, di Pekan, Pahang pada pukul 5 petang semalam.

Kehadiran beliau ke istana berkenaan turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut hadir sama menghadap Yang di-Pertuan Agong. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button