NasionalPendidikanpilihan

IKMa tawar program khusus pendidikan usahawan dan koperasi unggul kepada generasi muda

GENERASI muda hari ini digesa mengambil peluang untuk menyertai sektor keusahawanan dan koperasi menerusi bidang pendidikan dan latihan disediakan di Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

Ini kerana, permintaan pasaran kerja dalam sektor berkenaan dijangka melonjak, pada masa akan datang, susulan industri memerlukan pelapis baharu yang ramai.

Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, ketika ini sektor berkenaan hanya dipelopori warga emas, dan generasi hari ini kurang mengintai peluang kerja yang lebih luas seperti koperasi dan keusahawanan.

Katanya, kurang kesedaran ini menyebabkan ramai yang memilih untuk menganggur sedangkan peluang lebih baik sudah tersedia luas dalam sektor itu.

“Peringkat pengurusan koperasi kebanyakannya dipelopori warga emas yang sudah bersara, mengakibatkan sektor ini semakin pupus tanpa diwariskan.

“Di Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia di bawah IKMa, menerusi program Sarjana Muda yang ditawarkan, ada lima perkara yang memberi jaminan kepada graduan dalam kebolehpasaran kerja.

“Pertama, koperasi besar akan jadi pemegang taruh kepada universiti. Kedua, ahli koperasi akan menghantar anak mereka ke pusat pengajian ini, ketiga koperasi besar berkenaan akan membiayai pinjaman atau biasiswa sepanjang pengajian.

“Keempat, empat IPTA (institut pengajian tinggi awam) sudah bersetuju menyediakan pusat latihan industri perintis untuk graduan koperasi. Terakhir, koperasi besar berkenaan akan menyediakan penempatan tenaga kerja kepada graduan.

“Sebagai contoh koperasi besar seperti Petronas akan jadi payung kepada penempatan kerja, jika mereka ada tujuh cawangan stesen minyak, graduan akan diserapkan setiap kali ada kekosongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa IKMa bersama Media, di Hotel Sunway Putra, semalam. Turut hadir, Timbalan IKMa, Mohd Zaid Mat Yunus dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) IKMa, Hamidah Mohd Jos.

Sementara itu, Mohd Ali menambah, banyak universiti swasta gulung tikar selepas pandemik Covid-19, tetapi universiti ini membuka pintu baharu namun kesedaran awam mengenainya masih kurang.

“Terdapat lima program yang diluluskan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), kuota untuk program Sarjana Muda adalah 30 pelajar bagi satu pengambilan.

“Kita ada tiga pengambilan bermula Mei nanti dengan anggara setahun 90 pelajar bagi satu program, jika tiga program boleh cecah 300 hingga 500 pelajar.

“Kampus peringkat awal ini bertempat di Petaling Jaya tetapi perancangan kita untuk bertapak di Cyberjaya dan kita ke arah itu,” katanya lagi.

Artikel berkaitan > Sektor Koperasi Negara Mencatat Perolehan Sebanyak RM41.47 bilion

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button