Nasional

Ikhlas atau riak, rahsia insan dengan Allah – Dr. Maza

ISU sama ada seseorang itu ikhlas atau riak dalam kerja amalnya tidak timbul kerana ia rahsia antara dirinya dengan Allah Yang Maha Mengetahui.

Tanpa merujuk sesiapa, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, jika seseorang itu ikhlas dalam kerja sedekahnya , dia akan mendapat pahala tetapi sekiranya diselimuti rasa riak, hanya dosa balasannya

“Hanya Allah Yang Maha Mengetahui mengapa seseorang mempertontonkan sedekahnya. Namun sama ada dia ikhlas atau riak, orang yang memerlukan akan mendapat sesuatu pemberian daripadanya.

“Apabila yang kesusahan mendapat keperluan, bebanan fardu kifayah kita menjadi kurang.

“Maka, bukan masalah kita jika seseorang itu ikhlas atau riak dalam pemberian peribadinya. Serahkan urusan itu kepada Allah. Ia bukan urusan kita, ia urusan seseorang dengan tuhannya,” kata beliau dalam Instagram miliknya malam tadi.

Mohd Asri yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Maza berkata, sesiapa pun yang mahu memberi peringatan kepada seseorang yang melakukan kerja-kerja amal perlu berbuat demikian dalam bentuk peringatan umum tentang bab ikhlas dalam amalan.

“Itu untuk ingatan semua tanpa perlu menilai manakah individu yang ikhlas atau riak. Hal sanubari insan penuh keajaiban. Ia rahsia insan dengan Tuhan,” kata beliau.

Dalam sehari dua ini timbul pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew selepas dia membantu sebuah keluarga miskin di Kedah dengan berkongsi gambar serta video kedaifan mereka.

Antaranya komen daripada ustaz Abu Syafiq terhadap pendakwah popular itu dengan mengatakan tindakan berkongsi gambar orang miskin di laman sosial adalah haram.

Pada masa sama, Eksekutif Media Menteri Besar Kedah pula mendakwa tindakan Ebit Lew memberi bantuan kepada golongan asnaf di negeri itu menyebabkan mereka dikecam masyarakat.

Mohd Ruslin Abdullah melalui laman Facebook berkata, Ebit Lew sewajarnya memaklumkan kepada mereka dahulu sebelum memberikan sebarang bantuan.

Ia berikutan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman bahawa usaha memujuk keluarga pesakit strok, Ishak Darus, 77, yang tinggal di Lorong Gedebang, Jalan Langgar di Alor Setar untuk berpindah sudah dilakukan sejak 12 tahun lalu.

Kata Syeikh Zakaria, ia berdasarkan rekod keluarga daif itu turut menerima pelbagai bantuan LZNK sejak 2007.

Menurutnya, antara jenis bantuan diterima keluarga Ishak termasuklah kewangan bulanan, makanan fakir miskin, awal persekolahan, Aidilfitri dan Jaya Diri.

Kelmarin, tular di media sosial apabila Ebit Lew menziarahi Ishak yang menghidap angin ahmar bersama keluarganya tinggal di rumah usang kerana tidak mampu menyewa di tempat lain.

Mereka didakwa tinggal berhimpit dengan lantai beralaskan tikar getah, dinding kayu reput dimakan anai-anai, malah sebahagian bumbung zink berlubang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button