Rencah Hidup

Ibu tua, anak bongsu meninggal kerana Covid-19

Tuhan makbulkan permintaan seorang anak perempuan

“KALAU mak pergi, mak kena bawa orang sekali”

“Aku tak tinggal kau, kita pergi sama-sama.” Itulah ayat terakhir perbualan seorang anak perempuan, adik bongsu daripada 12 orang adik beradik yang menjaga ibu mereka, meninggal dunia semalam selepas kedua-duanya disahkan positif Covid-19.

Romlah, 52, berkata, adik bongsunya yang berusia 43 tahun meninggal dunia seorang diri di dalam bilik di rumahnya di Hulu Langat, Selangor manakala ibu mereka yang berusia 84 tahun, meninggal dunia ketika dijaga oleh anaknya yang lain.

Kata Romlah, ketika hayat mereka, dua beranak itu sangat rapat lebih-lebih lagi adik bongsunya itu tidak berkahwin dan beliaulah mengambil tanggungjawab menjaga orang tua mereka yang sakit tua.

Bagaimanapun Romlah berkata, selepas kesihatan ibunya merosot, mereka sepakat membawa ibu ke rumah kakak yang terletak di taman berdekatan untuk pemantauan rapi kerana adiknya juga tidak sihat ketika itu.

“Emak sudah enam hari tiada selera makan, jadi kami adik beradik sepakat bawa mak dan menjaganya di rumah kakak.

“Adik pula menolak untuk ikut serta dan mahu berehat di rumah seorang diri kerana kurang sihat tetapi berulang-kali adik beritahu mak supaya ‘bawa’ dia pergi sekali jika mahu ke ‘sana’,” katanya.

Romlah berkata, pemergian adik bongsu daripada 12 beradik itu disedari selepas anak buahnya pergi ke rumah berkenaan petang semalam untuk mengambil kad pengenalan ibunya dan mendapati adiknya sudah tidak sedarkan diri dan seluruh badan “kebiruan”.

“Pagi sebelum itu, kami ada hubungi adik beritahu mak semakin tenat dan turut disahkan positif Covid-19. Beliau terkejut dan suaranya agak lemah,” kata Romlah.

Selepas menerima khabar duka pemergian adiknya itu, ibunya pula menghembuskan nafas terakhir tidak lama kemudian.

Romlah berkata, mayat kedua-dua beranak itu kemudiannya dibawa ke Hospital Ampang untuk proses bedah siasat.

“Pihak hospital memaklumkan bahawa adik meninggal dunia pada sebelah pagi dan disahkan positif Covid-19. Punca kematian adalah akibat penyakit jantung yang dihidapinya.

“Manakala mak pula yang sakit tua, turut disahkan positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, ketika hayat mereka, dua beranak itu pernah menyuarakan hasrat untuk dikebumikan dalam satu liang lahad jika ditakdirkan mati bersama.

Bagaimanapun katanya, hasrat itu tidak dapat ditunaikan kerana ibunya dikebumikan petang semalam manakala adiknya masih di hospital untuk proses terakhir bedah siasat.

“Tidak dapat seliang pun, mak dan adik mungkin tetap dapat ‘bersama’ kerana akan dikebumikan sebelah-menyebelah di Hulu Langat,” katanya sambil menambah, jenazah adiknya dikebumikan awal hari ini.

Romlah berkata, pemergian dua insan yang sangat rapat dengannya itu memberi kesan mendalam ke atas dirinya, lebih-lebih lagi adik bongsunya itu sering menghubungi beliau untuk membantu menjaga ibu mereka jika dia keluar berniaga di pasar malam pada hujung minggu.

“Kehidupan adik saya hanya berkisar pada ibu dan berniaga. Jika tidak berniaga, dia akan luangkan masa untuk mak. Tak pernah dia merungut kena jaga mak yang sakit tua sepanjang hayatnya,” kata Romlah dengan nada sayu.

Lebih meruntun hati apabila angkara virus Covid-19, semua anggota keluarga tidak dapat mengiringi pemergian insan tersayang mereka buat kali terakhir.

Katanya, mereka sekeluarga berasa kesal atas pemergian serentak dua insan tersayang. Hanya kiriman doa dan alunan suci Al-Quran tanpa henti menjadi “hadiah” paling bermakna.

“Tak puas belai mak…,” tambahnya.

Ketika ini, Romlah dan empat ahli keluarga yang lain turut disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah. – FMT – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button