Nasionalpilihan

Ibu cemas anak 8 tahun terkunci dalam kereta

Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang terkunci dalam kereta milik ibunya selama 20 minit dalam kejadian di Jalan Lagenda 1, Taman Lagenda, Melaka pada petang Khamis.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Ismail Harun berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada ibu kanak-kanak itu pada pukul 2.56 petang.

Katanya, sejurus menerima panggilan tersebut sepasukan sembilan anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian anggota PKO mendapati orang awam turut cuba membantu untuk membuka pintu kereta Honda Civic FD itu, namun gagal.

“Anggota bomba menggunakan alat khas ‘spacer kit’ dan berjaya membuka pintu kereta terbabit dan mendapati kanak-kanak lelaki sedang tidur dan enjin kenderaan dalam keadaan hidup,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Ismail berkata, kanak-kanak itu ditinggalkan oleh ibunya untuk pergi ke kedai berdekatan.

Katanya, ibu mangsa cemas apabila mendapati keretanya terkunci dari dalam dan anaknya ketika tertidur dipercayai akibat cuaca panas.

“Usaha mengejutkan anaknya dengan bantuan orang ramai gagal hingga memaksa ibunya menghubungi bomba,” katanya.

Ujarnya, pasukan bomba mengambil masa lima minit sebelum dapat membuka pintu kereta berkenaan.

Jelasnya, kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudiannya diserahkan kepada ibunya. – SM

(Visited 15 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button