Nasional

PALAPES dan Askar Wataniah pupuk semangat patriotik – Raja Muda Perlis

IBU BAPA dan penjaga diminta menasihati anak-anak atau jagaan mereka yang ditauliahkan sebagai Pegawai Tauliah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus terlibat aktif dalam Askar Wataniah selepas masing-masing tamat pengajian mereka di universiti-universiti awam.

Ini adalah kerana semangat anak-anak muda seperti mereka perlu dipupuk untuk terus cintakan tanah air dan sifat patriotik perlu disuburkan kerana keamanan dan kedaulatan negara harus sentiasa dipertahankan.

Pengalaman dan latihan yang dijalani oleh para Pegawai Tauliah PALAPES dengan penuh berdedikasi selama tiga tahun sedikit sebanyak juga akan dapat membantu anggota Askar Wataniah yang lain.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Ibupejabat Bahagian Pasukan Simpanan (Territorial Defense Command) Angkatan Tentera DiRaja Thailand di Bangkok petang tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Komandannya, Leftenan Jeneral Prakarn Padavanija yang menyampaikan taklimat, timbalan-timbalan beliau Mejar Jeneral Aittipol Suwannarat dan Mejar Jeneral Sudyod Promkaew serta para pegawai kanan pasukan.

Hadir sama ialah Komandan Pusat Askar Simpanan Thailand, Mejar Jeneral Wuttikrai Klaythong dan Komandan Pusat Latihan Askar Simpanan Thailand, Mejar Jeneral Trijakra Nakapaiboon.

Baginda merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan juga Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia mengetuai delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategik Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Tahun 2020’ ke Bangkok, Thailand bermula semalam.

Tambah Tuanku Raja Muda Perlis, kebajikan Pegawai Tauliah PALAPES juga akan lebih terjaga dan terjamin apabila mereka terus terlibat aktif dalam pasukan Askar Wataniah di samping peruntukan kewangan yang disalurkan oleh Kerajaan sepanjang tempoh menjadi kadet selama 3 tahun tidak dipersiakan apabila masing-masing terus aktif dan menyumbang khidmat kepada negara.

Sempena kunjungan tersebut, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hadsan Basri Awang Mat Dahan turut menyampaikan ucapan dan turut diiringi oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kol (K) Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad, Lt. Kol.Prof Madya Dr Abdul Halim Mokhtar (Universiti Malaya) dan Kapten Rozaimi Kamarudin (Universiti Sains Islam Malaysia) sebagai urusetia penganjuran pada kali ini.

Akhir lawatan para delegasi turut dibawa melawat Muzium King Rama VI yang turut menyimpan pelbagai koleksi sejarah Raja Siam.

BACA JUGA:

Raja Muda Perlis berangkat hadiri Majlis Makan Malam Rejimental 504 Askar Wataniah

(Visited 844 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button