Nasional

Hujan batu fenomena biasa, kata MetMalaysia

HUJAN batu dan angin kencang dilaporkan telah melanda beberapa kawasan di ibu negara pada pukul empat petang semalam.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), imej radar dan satelit, awan hujan dan ribut petir aktif mula dicerap memasuki Kuala Lumpur sekitar 3.30 petang.

Tambahnya, kejadian hujan batu adalah fenomena biasa di negara ini yang mana ia berlaku ketika ribut petir yang kuat berserta hujan lebat dan angin kencang.

“Apabila awan kumulonimbus yang aktif mencapai ketinggian 12km, suhu udara di dalam awan melepasi nilai ambang tahap beku dan pembentukan ketulan ais di atas lapisan itu,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, turut dijelaskan bahawa ais yang terbentuk di dalam awan turun bersama hujan sebagai ketulan ais yang tidak sempat mencair sebelum sampai ke tanah dan titisan hujan yang terbentuk sebagai gumpalan air batu kebiasaannya bersaiz kecil sekitar 1.5cm iaitu sebesar guli.

Kejadian hujan batu biasanya hanya berlaku setempat iaitu di kawasan yang berada di bawah awan kumulonimbus dan tempoh kejadiannya juga singkat iaitu sekitar 10 hingga 20 minit sahaja.

METMalaysia juga turut mengeluarkan amaran ribut petir pada pukul 2.25 petang semalam yang meliputi kawasan Kuala Lumpur dan amaran berkuat kuasa sehingga pukul enam petang semalam. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button