Rencah Hidup

”Hud, Pulanglah… Mama dan Abi Menunggu”-luluh hati luahan seorang ibu hilang anaknya

KEHILANGAN seorang kanak-kanak, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi yang berusia setahun enam bulan, kini sudah memasuki lebih 36 jam sejak dia dilaporkan hilang ketika berada di rumah neneknya.

Dalam satu rayuan penuh emosi yang dikongsi ibunya di Facebook, Azean Nur Atikah Ramley memohon doa agar anaknya segera ditemukan. Dengan emoji tangisan, dia meluahkan rasa rindunya terhadap anak tunggalnya itu.

“Ramai orang baik berikhtiar mencari Hud Aryan, satu Malaysia mendoakan untuknya. Cepat balik, Hud… Mama dan Abi tunggu,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Sejak kehilangan Hud Aryan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah giat dijalankan dengan bantuan pasukan penyelamat, namun ibu kepada anak kecil ini tetap gelisah selagi anaknya belum ditemukan.

Enam Tahun Menanti Zuriat

Menurut emak saudara Hud Aryan, Azean Suhaily Ramley, 39, kakaknya telah menunggu selama enam tahun untuk mendapatkan cahaya mata, termasuk mengalami empat kali keguguran sebelum dikurniakan Hud Aryan.

“Enam tahun kakak saya menanti zuriat, berdepan empat kali keguguran sebelum Allah mengurniakan Hud Aryan. Namun kini, Allah menguji kami sekali lagi dengan kehilangan Hud,” katanya.

Lebih menyedihkan, katanya, sehingga kini kehilangan anak saudaranya yang berusia 19 bulan itu masih menjadi misteri tanpa sebarang petunjuk meskipun pencarian telah berlarutan lebih 36 jam.

Sejak kehilangan Hud Aryan, ibu bapanya tidak mampu melelapkan mata dan turut menyertai operasi mencari dan menyelamat, termasuk masuk ke kawasan hutan walaupun dalam keadaan keletihan.

Operasi SAR Diteruskan

Memetik laporan Harian Metro, Hud Aryan dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Air Kuala Tiga. Bagaimanapun, pasukan mencari masih belum menemui sebarang petunjuk positif mengenai keberadaannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman berkata, operasi yang bermula pada jam 9 pagi hari ini akan menggunakan dua anjing pengesan dari Unit K9.

“Operasi semalam ditamatkan pada jam 7 malam, namun sehingga kini masih tiada petunjuk positif seperti kesan tapak kaki atau pakaian milik Hud Aryan.

“Hari ini, operasi akan diperluaskan lagi dengan bantuan dua anjing pengesan yang tiba di lokasi pada jam 6.30 petang semalam. Mengikut perancangan asal, anjing pengesan sepatutnya digunakan petang semalam, tetapi kerana tiba lewat, hari ini baru boleh digunakan,” katanya.

Beliau menambah, jumlah anggota yang terlibat dalam operasi tidak bertambah, namun ia turut mendapat bantuan daripada orang awam.

“Kami berharap operasi hari ini dipermudahkan dan akan ada petunjuk positif,” katanya lagi.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button