Nasionalpilihan

Hotel di Melaka hadkan terima pelancong dari China menginap

Sebahagian besar hotel bertaraf empat dan lima bintang di negeri ini mengambil ketetapan menghadkan pelancong dari China menginap sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes Covid-19 dari negara tersebut.

Rata-rata pemilik hotel tidak menghalang pelancong dari negara tersebut datang menginap tetapi sebaliknya hanya memilih mereka yang memiliki sijil vaksinasi dan bukti kesihatan serta
mewajibkan pengambilan ujian saringan Covid-19.

Pemilik Hotel LaCrista, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, pihaknya hanya menerima pelancong dari China yang ingin menginap di hotelnya menggunakan pakej yang mahal sahaja.

Menurutnya, selain itu butiran pelancong turut diambil kira seperti mempunyai sijil vaksinasi tidak mempunyai rekod gejala demam atau mengalami batuk sebelum tiba di Malaysia.

“Setakat ini pihak hotel belum menerima sebarang tempahan dari pelancong China jika ada nanti kita tidak ambil ramai cuma yang terpilih sahaja berdasarkan pakej mahal yang ditempah. Ini
dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga,” ujarnya di sini hari ini.

Dia diminta mengulas mengenai keputusan China untuk membuka pintu sempadan pada Ahad selepas tiga tahun sekatan yang dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

Penolong Pengurus Eksekutif Hotel Ames, Nurashiken Zainal Abidin berkata, pihak tidak lagi menerima ramai pelancong dari China menginap berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara berkenaan.

Katanya, sebelum penularan Covid-19, pihaknya sering menerima kedatangan pelancong dari negara terbabit antara dua atau tiga bas.

“Sekarang ini kita hadkan kedatangan mereka ingin menginap di sini dan peraturan ketat kita lakukan seperti yang disarankan oleh kerajaan.

“Setakat ini kita ada menerima tempahan pelabur dari negara itu minggu depan namun kita akan teliti rekod kesihatan mereka termasuk memiliki sijil vaksinasi,” ujarnya.

Katanya, jika ada di antara mereka yang tiba mempunyai gejala demam atau batuk, kita tidak akan benarkan untuk mereka menginap di hotel.

Bagi Pengurus Besar Hotel MITC, Sazali Sabri berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang tempahan dari pelancong China melainkan Jepun, Singapura, Vietnam dan Laos.

“Jika ada, mereka mesti mempunyai rekod kesihatan, tidak ada gejala demam atau batuk sebelum tiba di Malaysia dan mesti mempunyai sijil vaksinasi yang diiktiraf,” ujarnya.

Katanya, pihaknya perlu berjaga-jaga menerima kedatangan pelancong bukan sahaja dari China tetapi juga negara lain bagi mengelakkan berlakunya kes jangkitan Covid-19 yang pernah berlaku pada
tahun 2020. – SM

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button