Politik

Hormati proses dalaman UMNO untuk kejayaan pendaftaran PN

SEMUA pihak dalam Perikatan Nasional perlu memahami dan menghormati proses yang sedang berlaku dalam UMNO terhadap isu pendaftaran gabungan itu.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, setakat ini ada 12 parti dalam gabungan kerjasama itu yang telah menyatakan persetujuan untuk mendaftar PN.

Namun terdapat sebilangan kecil tokoh dari UMNO yang kelihatan tidak selesa dengan usaha untuk mendaftarkan Perikatan Nasional.

Jelas beliau, perasaan tidak selesa dalam kalangan pemimpin UMNO bukanlah sesuatu yang pelik kerana dalam BN parti itu adalah dominan tetapi akan hilang status dalam PN.

“Hakikatnya, UMNO akan perlu banyak berkorban jika PN diteruskan. Ini kerana dalam BN mereka adalah parti dominan tetapi dalam PN mereka akan hilang status dominan itu. Sudah pasti ada pemimpin Umno yang risau.

“Kesaksamaan dalam PN akan menjadikan ia lebih baik daripada BN. Tetapi sekarang ini, bagi saya, UMNO perlu diberi masa dan ruang untuk menguruskan transisi.

“Pemimpin UMNO bukan orang baru dalam politik dan mereka banyak pengalaman menguruskan perubahan. Berikan mereka masa dan hormati proses dalaman mereka,” kata Wan Saiful.

Menurutnya, secara peribadi beliau tidak merasakan pendaftaran PN sebagai sesuatu yang penting namun tanpa pendaftaran akan ada banyak soalan yang sengaja ditimbulkan oleh pihak lawan.

“Maka dalam konteks hari ini, saya merasakan pendaftaran adalah prasyarat yang perlu dipenuhi dan saya harap pengumuman mengenainya boleh dibuat segera untuk menghilangkan kegusaran ahli-ahli semua parti komponen,” kata beliau.

Wan Saiful berkata, jika dicorakkan dengan baik, beliau yakin PN boleh menjadi peneraju utama politik negara untuk masa yang panjang.

Menurutnya terdapat  dua sebab kenapa PN berpotensi menjadi lebih stabil daripada Pakatan Harapan dan lebih baik daripada Barisan Nasional.

“Pertama, PN mengembalikan kedudukan politik Melayu sebagai teraju sambil memastikan kebajikan semua bangsa terjamin. Semasa era PH dahulu, mereka mengetepikan sentimen orang Melayu sehingga wujud ketidakstabilan.

“Sebab kedua kenapa PN boleh lebih stabil ialah dalam PN tidak wujud perebutan jawatan perdana menteri seperti yang berlaku antara Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim,” kata Wan Saiful.-SM

(Visited 433 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button