Honda Civic Generasi ke-11 yang lebih berkuasa
Model e:HEV Hybrid dan Type R serba baharu bakal dilancarkan pada tahun 2022
Pada hujung bulan lepas, Honda akhirnya mendedeahkan model Civic sedan serba baharu untuk pasaran Amerika Syarikat sebagai pengganti model Civic geneasi ke-10 ni yang lebih dikenali oleh peminat Civic tempatan sebagai ‘Civic Ketam’ atau pun ‘Civic X’ kerana reka bentuk lampu belakangnya yang agresif.
Untuk model Civic Generasi ke-11 ini, atau kod nama Civic FE, banyak penambahbaikan dari segi rekaan dan teknologi dan dilihat mampu untuk terus menjadi antara model terlaris Honda dalam segment tersebut.
Seperti foto yang banyak telah dikongsi oleh portal automotif tempatan dan luar negara, Civic generasi ke-11 tampil dengan rekaan yang lebih elegan. Walaupun begitu, rata-rata peminat model Civic menyatakan mereka lebih meminati reka bentuk Civic yang sedia ada sekarang berbanding Civic baharu tersebut. Tapi lain orang lain selera, kita tak boleh nak paksa.
Model baharu ini akan mula dijual pada musim panas di Amerika, dan bagi pasaran Malaysia dijangka bakal dilancarkan pada tahun ini juga. Dari segi reka bentuk luar, ia tampil dengan lebih ringkas dan ringan tetapi masih mengekalkan identiti sporty dan aerodinamik.
Manakala ruang kabin menerima pembaharuan yang ketara dari segi susun atur rekaan papan pemuka Civic baharu memang agak minimalis. Ia Nampak mewah dengan kemasan honeycomb yang merentasi papan pemuka yang menyembunyikan corong pendingin hawa.
Untuk model Civic FE ini ia dihadirkan dengan dua rangkaian kuasa, iaitu enjin aspirasi semula jadi bersesaran 2.0 liter dengan kuasa 158hp dan tork 187Nm, serta enjin 1.5 liter turbo dengan talaan baharu yang menghasilkan 180hp dan tork 240Nm, meningkat 6hp dan 20Nm berbanding enjin Civic FC.
Tapi itu untuk model standard Civic FE, apa yang menrik perhatian lagi adalah model ini akan menerima 2 lagi varian sporty untuk penggemar pemanduan yang lebih cekap dan pantas iaitu varian e:HEV Hibrid dan model Civic Type R yang bakal dilancarkan pada tahun 2022.
Secara teorinya, rangkaian kuasa e: HEV adalah hampir sama seperti yang terdapat dalam sistem i-MMD Honda City RS. Ia dijankan oleh dua kuasa motor dengan motor elektriknya akan digunakan sepanjang kenderaan tersebut bergerak di atas jalan.
Seperti enjin petrol – empat silinder 1.5 liter yang diaspirasikan secara semula jadi pada City RS – hanya digunakan untuk menggerakkan kenderaan dengan memberikan kuasa tambahan untuk membantu motor elektrik tersebut, atau menggerakkan roda secara langsung semasa kenderaan sedang bergerak dalam kelajuan tinggi.
Sementara itu, belum ada perincian lebih lanjut mengenai Civic Type R – tetapi banyak portal automotif antarabangsa telah menyiarkan lakaran menunjukkan bagaimana rupa bentuk Civic FE Type R ini. Walaupun saiz model baharu ini sedikit lebih besar, perubahan gaya Honda untuk model Type R baharu nampaknya lebih berevolusi.
Untuk reka bentuk bodykit Type R kali ini, Honda telah melembutkan garis kereta dalam usaha untuk memperluas daya tarikan kereta pada skala global, serta menukar ganti banyak bolong udara palsu dan memberikan permukaan badan yang lebih bersih dan kemas. Sama-sama kita nantikan. – SM
Kredit: BestCarWeb.Jp dan SuperStreetOnline.Com