Nasional

Hishammuddin kembali bertugas di Wisma Putra esok

MENTERI Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan kembali bertugas di pejabatnya di Wisma Putra esok.

Hishammuddin berkata, beliau telah menjalani kuarantin wajib di rumahnya sejak 22 September lalu.

Ini selepas beliau dikenalpasti sebagai salah seorang kontak rapat kepada individu yang telah disahkan positif Covid-19 iaitu calon Barisan Nasional bagi Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah untuk Dewan Undangan Negeri Pitas, Sufian Abdul Karim.

Hishammuddin berangkat ke ke Pitas pada 21 September bagi bersama-sama membantu berkempen calon Barisan Nasional.

Menurutnya, sehingga semalam beliau telah melalui ujian saringan Covid-19 sebanyak tiga kali termasuk ketika mula sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 22 September.

Ketiga-tiga ujian yang dilakukan termasuk terakhir semalam telah menunjukkan keputusan negatif.

“Susulan daripada tiga ujian saringan yang menunjukkan keputusan negatif ini, KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah Petaling telah mengeluarkan surat yang mengesahkan bahawa hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak mereka, mendapati status kesihatan saya memuaskan.

“Sekaligus memberikan “Pelepasan Dari Menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman Bagi Kontak Terdekat Jangkitan (COVID-19) Di Bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)” kepada saya bermula dari tarikh hari ini, Isnin, 5 Oktober,” kata Hishammuddin.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak KKM dan semua petugas yang telah membantu beliau dengan sebaik mungkin sepanjang tempoh menjalani kuarantin.-SM

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button