Politik

Hidup mati bersama UMNO, tidak sertai parti lain

Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob menafikan beliau menyertai atau terbabit dalam cadangan penubuhan parti baru dikenali sebagai Parti Reformasi Bersatu Negara yang tersebar di media sosial sejak semalam.

Menteri kanan (keselamatan) itu berkata, beliau setia bersama UMNO sejak lebih 3 dekad lalu dan tidak pernah berbincang dengan beberapa pemimpin yang dikatakan akan turut menerajui parti baru itu.

“Hidup dan mati saya adalah bersama UMNO. Jika saya berhenti politik sekalipun, saya akan berhenti dalam Umno. Tidak timbul isu saya menyertai parti lain. Ini bagi saya hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

“Saya pun hanya tahu mengenainya malam tadi, apabila ditanya orang…saya tidak tahu itu parti siapa atau siapa dan bagaimana nama saya berada di dalamnya,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra di Felda Chini 3, dekat sini, hari ini.

Ismail tidak menolak kemungkinan isu penubuhan parti itu ditimbulkan pihak yang mahu menimbulkan persepsi tidak benar wujud masalah dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau mengulas dakwaan namanya disenaraikan sebagai timbalan presiden parti yang didakwa dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, selain turut membariskan nama beberapa menteri dan pemimpin parti politik lain.

Dalam perkembangan lain, Ismail mengingatkan pengundi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chini untuk keluar mengundi walaupun Barisan Nasional dilihat berdepan laluan mudah mempertahankan kerusi itu.

“Jangan ambil mudah kerana walaupun kita hanya dicabar calon bebas, namun pertandingan tetap pertandingan. Pengundi (dari) luar pula jangan ada anggapan tidak perlu pulang kerana BN sudah pasti menang. Jangan bersikap sambil lewa hal ini hanya kerana kawasan ini adalah kubu kita.”

Beliau optimis pengundi di Chini akan memihak calon BN, mengambil kira prestasi kerajaan PN yang membuktikan kemampuannya mentadbir negara sehingga dilihat salah sebuah negara terbaik dalam mengendalikan pandemik Covid-19.

Selain itu, semangat Muafakat Nasional antara Umno dan PAS dilihat antara faktor untuk BN memenangi PRK Chini pada 4 Julai ini dengan mengambil kira rekod kemenangannya dalam beberapa PRK selepas jalinan kerjasama itu dibentuk pada awal 2019.

PRK Chini menyaksikan calon BN daripada Umno, Mohd Sharim Md Zain, 41, dicabar 2 calon bebas, iaitu ahli perniagaan Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang merupakan penulis blog.

PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Abu Bakar yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,622 undi selepas meraih 10,027 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.-BERNAMA

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button