NegeriRencah Hidup

HHRD-USA serah 300 pek makanan untuk asnaf di Perlis

SEBANYAK 300 pek makanan disampaikan oleh Helping Hand For Relief Development (HHRD-USA) dengan kerjasama Yayasan Muallaf Malaysia (YMM) melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada para asnaf dan golongan memerlukan di negeri ini.

Penyerahan sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi YMM, Shila Lama Abdullah kepada Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Al-Mursyid, Guring, Pauh dekat Arau baru-baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bergambar kenangan bersama penaja yang menyumbangkan pek makanan untuk asnaf di Masjid Al-Mursyid, Guring, Pauh dekat Arau baru-baru ini.

Majlis penyerahan tersebut disaksikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Shila Lama dalam ucapannya melahirkan setinggi penghargaan kepada pihak HHRD-USA yang telah bermurah hati menyalurkan sumbangan dengan kerjasama YMM yang mendapat bantuan dan sokongan padu daripada MAIPs dalam mengenalpasti mereka yang berkeperluan.

Selain mengagihkan bantuan kepada warga asnaf di sekitar Negeri Perlis, sumbangan berkenaan turut disalurkan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia yang berkeperluan dengan kerjasama pihak Briged Ke-30 Infantri Malaysia.

Mohd Nazim turut berharap sumbangan berkenaan dapat membantu meringankan beban mereka yang disantuni.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyaksikan penyerahan pek makanan di Masjid Al-Mursyid, Guring, Pauh dekat Arau baru-baru ini.

“MAIPs sentiasa mengalu-alukan sumbangan yang disampaikan oleh pelbagai pihak yang sentiasa bermurah hati menghulurkan bantuan sama ada melalui sumbangan zakat, wakaf dan sumber am melalui MAIPs. Sudah pasti sumbangan ini amat bermakna kepada mereka yang memerlukan,” kata beliau.

HHRD-USA yang berpengkalan di Amerika Syarikat ditubuhkan pada tahun 2005 merupakan sebuah organisasi bantuan dan pembangunan kemanusiaan global yang bertindak balas terhadap penderitaan manusia dalam situasi kecemasan dan bencana di seluruh dunia tanpa mengira kaum, jantina, etnik, kelas, lokasi, agama, warna kulit, kepelbagaian budaya dan latar belakang sosial. – SM

(Visited 29 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button