Nasional

Henti buli petugas kompaun masjid tidak patuh SOP – Cuepacs

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa masyarakat dan warganet supaya menghentikan pembulian ke atas seorang petugas kesihatan Zuharnan Rashid berhubung isu sebuah masjid dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Presiden CUEPACS Adnan Mat berkat, pembulian terhadap Pegawai Kesihatan Persekitaran di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan itu turut dilakukan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa melakukan semakan fakta dan kronologi kes yang tepat.

Jelas beliau, keputusan mengenakan kompaun terhadap masjid yang terletak di Pekan, Pahang itu telah dibuat dengan penglibatan pelbagai ketua jabatan kerajaan termasuk Ketua Kadi Daerah.

Kompaun dikenakan kerana terdapat kes positif Covid-19 melibatkan ahli kariah masjid terbabit.

“Apabila hendak dilakukan pengesanan kontak, berlaku kesukaran kepada pihak berkuasa kerana ramai jawatankuasa masjid dan juga jemaah yang hadir tidak merekod kehadiran mereka dalam buku kehadiran serta menggunakan aplikasi MySejahtera.


“Kalu ikutkan kesalahan tersebut boleh dikenakan secara individu dan akan mengakibatkan ramai jemaah tetapi keputusan telah diambil untuk hanya mengeluarkan satu kompaun sahaja kepada jawatankuasa masjid sebagai pengajaran kepada masjid-masjid lain dan bukan untuk tujuan aniaya.

“Semasa keputusan tersebut diambil tuan kadi daerah juga turut menyatakan tiada halangan termasuklah ketua-ketua jabatan lain yang turut hadir,” kata Adnan.

Menurutnya, kompaun itu juga sebagai pengajaran kepada masjid-masjid lain di daerah Pekan tetapi telah diviralkan ke merata tempat.

Menurut Adnan, pihaknya terpanggil untuk menyatakan sokongan kepada Zulhasnan yang telah dicerca dan dikeji oleh warganet sehingga melibatkan ahli keluarga beliau.

Dia menegaskan, sekiranya perkara tersebut tidak dikawal ianya boleh menjatuhkan moral dan semangat penjawat awam lain yang telah bertungkus lumus mengawal dan mencegah pandemik Covid-19.

“Justeru itu, CUEPACS menggesa dan meminta semua pihak termasuk orang awam serta NGO tidak menjadikan perkara tersebut sebagai isu dengan menyebarkan maklumat yang tidak tepat sehingga mencetuskan kegelisahan awam sekali gus menyukarkan tugas-tugas penjawat awam.

“Sebagai NGO dan individu yang bertanggungjawab kita wajar mendapatkan maklumat yang tepat dari sumber sahih sebelum membuat kenyataan berbentuk serangan.

“Tuduhan yang tidak berasas bukan sahaja mencetuskan perdebatan awam, tetapi memberi kesan buruk kepada perkhidmatan awam sekiranya tuduhan tersebut tidak benar,” katanya.

Cuepacs turut memohon supaya Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang atau Pengerusi Task Force Covid-19 daerah Pekan untuk tampil memberikan penjelasan sebenar.

Tindakan itu supaya nama Zurharnan dapat dibersihkan dan beliau tidak lagi diserang oleh beberapa pihak termasuk NGO yang tidak tahu fakta sebenar.-SM

(Visited 1,331 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button