fbpx
Nasional

Hati-hati dengan Malaria yang muncul di Ampang

SUDAH lama tidak mendengar kes malaria berlaku di negara ini. Bagaimanapun semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyaki 14 individu termasuk seorang warga tempatan di Ampang, Selangor dijangkiti malaria berpunca daripada seorang pekerja asing yang mendapat jangkitan di negara asal.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan penyakit itu, disyaki berpunca daripada seorang pekerja pembinaan warga Indonesia yang mendapat jangkitan dari Aceh, Indonesia.

“Jangkitan telah merebak kepada rakan sekerja serta penduduk berdekatan termasuk seorang warganegara Malaysia. Kes terakhir dilaporkan pada 12 Jun dan kini situasi adalah terkawal,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sembilan orang yang dijangkiti itu adalah warga Indonesia, Bangladesh (tiga) dan masing-masing satu kes membabitkan warga Malaysia dan Nepal.

Katanya 13 kes dikesan melalui aktiviti pengesanan kes aktif selepas menerima notifikasi satu kes malaria pada 20 Mei lepas dari Hospital Ampang, yang melibatkan seorang pekerja Bangladesh di tapak pembinaan sebuah lebuh raya di Ampang, Selangor. Setakat ini, seramai 3,017 orang telah disaring melalui ujian slaid darah.


Malaria bukan penyakit baru dan dipercayai mula menjangkiti manusia sejak lebih 50,000 tahun lalu dengan beberapa spesies parasit yang masih boleh ditemui dalam chimpanzi.

Setiap tahun malaria menyerang lebih 500 juta dan membunuh sehingga tiga juta penduduk dunia di 109 negara benua Afrika, Asia dan Amerika Latin. Eropah dan Amerika Syarikat. Ia dijangka boleh meningkat jika pemanasan global yang menambah sebaran habitat nyamuk tiruk.

Demam malaria disebabkan parasit Plasmodium yang masuk dalam aliran darah melalui gigitan nyamuk tiruk betina.  Parasit kemudian masuk ke sel hati lalu berkembang biak. Ketika sel hati pecah, parasit Plasmodium keluar lalu menyerang sel darah merah. Di situ, parasit terus berlipat ganda.

Ketika sel darah merah pecah, parasit keluar dan menyerang lebih banyak sel darah merah. Kitaran itu terus berulang dan orang yang terjangkit biasanya mengalami tanda demam malaria setiap kali sel darah merah pecah.

Tanda gejala demam malaria termasuk demam berpanjangan, berpeluh, menggigil, sakit kepala, sakit otot, loya dan muntah, anemia, uaundis (kekuningan), pembesaran hati dan limpa setra cirit-birit

Mereka yang dijangkiti dan jika tidak dirawat akan mengalami kegagalan fungsi hati dan buah pinggang, kemusnahan sel darah merah, jangkitan kuman di lapisan otak, limpa pecah yang mengakibatkan pendarahan yang teruk.

Tiada vaksin khas mencegah malaria tetapi ia boleh dicegah melalui tidur menggunakan kelambu dan menggunakan ubat nyamuk atau menyembur racun serangga pembunuh nyamuk. -SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button