fbpx
Nasional

Dua kanak-kanak jadi mangsa JE di Pulau Pinang

Dua kes Japanese Encephalitis (JE) dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan dua mangsa kanak-kanak berusia dua dan lapan tahun.

DUA orang kanak-kanak merupakan mangsa jangkitan Japanese Encephalitis (JE) dilaporkan di Pulau Pinang. Kedua-dua mereka berusia dua dan lapan tahun dari Kampung Badak Mati dan Taman Kuang, Sungai Bakap.

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib, berkata, kanak-kanak terbabit mendapatkan rawatan sejak Isnin dan keadaan mereka kini stabil dengan seorang telah dibenarkan untuk pulang ke rumah.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sudah meminta Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan di kawasan sekitar lokaliti kes melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan Selasa lalu, iaitu sehari selepas kes dilaporkan.

“Hasilnya, sebanyak 18 bekas daripada 4,068 diperiksa menemui tempat pembiakan nyamuk Culex dan sudah disembur dengan bahan pembunuh jentik-jentik.

“Selain itu, aktiviti semburan kabus juga dibuat meliputi semua premis berjumlah 1,082 dalam lingkungan dua kilometer radius daripada rumah kes,” katanya.


Pemeriksaan di kawasan kediaman mangsa turut dijalankan membabitkan 3,806 penduduk dan mendapati mereka tidak mempunyai gejala JE.

JKNPP turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) bagi membasmi penularan JE di kawasan berkenaan.

“Melalui kerjasama ini JPVPP memeriksa lapan ladang khinzir yang mana tiga daripadanya terletak dalam lingkungan 1.5 kilometer dari kawasan kes serta sampel daripada khinzir juga sudah diambil dan dihantar ke makmal untuk pengesanan virus JE.

“Pengusaha ladang khinzir dipohon supaya mematuhi amalan penternakan yang baik untuk meningkatkan tahap kebersihan ladang serta bebas daripada tempat pembiakan nyamuk terutamanya nyamuk Culex,” katanya.

Sejak Januari tahun ini sehingga 25 Jun lalu, sembilan kes termasuk satu kes kematian JE dilaporkan di Malaysia berbanding 12 kes dan tiga kematian bagi tempoh sama pada tahun 2019.

Kes yang dilaporkan tahun ini adalah tiga dari Sabah, dua (Kedah), dua (Pulau Pinang) dan masing-masing satu dari Sarawak dan Perak.

Penyakit ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang membawa virus Japanese encephalitis dalam kumpulan Arbovirus.

Kitar hidup virus JE melibatkan babi yang diternak serta nyamuk Culex yang membiak di kawasan sawah padi dan tempat ternakan babi.

Komplikasi yang berlaku  akibat jangkitan virus ini adalah radang otak dan boleh menyebabkan 30 peratus kematian dan 30 peratus kes yang selamat pula akan mendapat kerosakan otak teruk termasuklah lumpuh.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button