Hasrat bantu lebih ramai golongan terbiar
Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan diiktiraf Malaysia Book Of Record
PROGRAM Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan diiktiraf Malaysia Book Of Record sebagai Program Amal Gelandangan dengan penyertaan NGO terbesar di Malaysia
Ketua Pengarah Program tersebut, Datuk Seri Nor Hasnal berkata program berkenaan disertai oleh 115 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menyantuni golongan memerlukan bantuan terutama golongan gelandangan.
“Program Kasih 21 Hari Mesra Gelandangan dengan tema Tangan Dihulur, Budi Ditabur, Kasih Disemai itu bertujuan untuk membantu golongan gelandangan dan insan terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan menyediakan barangan keperluan seharian dan juga makanan buat mereka” jelasnya dalam ucapan majlis perasmian penutup program berkenaan.
Katanya, program sebegini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui bantuan yang disediakan.
“Malah pelaksanaan program ini juga bertujuan untuk melahirkan ahli-ahli, pelapis pertubuhan serta persatuan yang jelas matlamat dan tujuannya serta lancar gerak kerjanya hasil daripada kesepakatan bersama.
“Sebenarnya, objektif program ini adalah untuk memberikan pengalaman sebenar kepada ahli NGO untuk mendekati masyarakat terbiar” katanya.
Tambahnya, menerusi program seperti ini, ia dapat membantu mendekatkan ahli-ahli NGO dengan masyarakat gelandangan bagi mengetahui masalah yang dihadapi mereka.
Di samping itu, program anjuran Persatuan Muafakat Darul Ehsan (PAKAT) yang bermula pada 2 Mac hingga 22 Mac 2022 mengunjungi beberapa kawasan setiap hari bermula jam 8 malam hingga 10 malam sepanjang tempoh program dilaksanakan.
Antara lokasinya adalah kawasan Masjid Jamek, Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Chow Kit dan Jalan Ipoh.
Oleh itu, Hasnal juga berharap agar program berbentuk begini dapat dilaksanakan bukan sahaja di Kuala Lumpur malah di negeri-negeri lain
“Hajat saya sebenarnya adalah saya nak NGO lain atau badan korporat turun padang untuk memberi rezeki kepada gelandangan.
“Di sini titik mula, lepas ini kita akan pusing satu Malaysia” katanya — SM