Nasionalpilihan

Harga jualan kit ujian kendiri antigen ditetapkan pada RM19.90

KIT ujian kendiri antigen Covid-19 akan ditetapkan pada harga RM19.90 untuk harga runcit berkuat kuasa Ahad depan.

Perkata itu ditetapkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut kenyataan itu, harga borong untuk ujian kit kendiri itu ditetapkan pada harga RM16 untuk satu set.

“Perkara ini bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna serta peniaga.

“KPDNHEP telah mengadakan libat urus dengan semua pemain industri tempatan dan pengimport dalam menentukan harga kawalan yang berpatutan bagi semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka ketika ini.

Jelasnya, kerajaan sedar bahawa situasi COVID-19 di negara kita dan seluruh dunia masih belum pulih malah situasi pada masa sekarang adalah lebih mencabar.

“Sehubungan itu, permintaan terhadap kit ujian pantas kendiri COVID-19 dijangka meningkat susulan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri untuk memastikan diri bebas daripada wabak COVID-19.

“Kit ujian kendiri yang akan dikawal adalah merupakan peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pengesanan antigen yang menyebabkan COVID-19 menggunakan sampel bendalir mulut atau swab hidung,” katanya.

Dalam pada itu, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta boleh dikenakan penalti.

Ujarnya, seseorang individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Kementerian telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.

“KPDNHEP juga turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan dengan lebih berkesan,” katanya. -SM

(Visited 96 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button