Nasional

Jika tiada intervensi daripada Kerajaan, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini akan melebihi RM10.00 sekilogram

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik keputusan Kerajaan dalam menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8.90 sekilogram.

Keputusan itu diambil dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Mengenai Industri Pengeluaran Makanan pada 31 Januari lalu yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga siling runcit ini akan berkuatkuasa pada 5 Februari ini setelah berakhirnya Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pada 4 Februari 2022.

“Harga ini akan kekal sehingga 5 Jun ini iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga harga makanan lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penetapan Harga Siling Runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak akan dibuat berdasarkan lokasi.

Katanya lagi, pada mesyuarat tersebut, telah diberikan taklimat berkenaan industri pengeluaran ayam dan telur yang menerima impak kenaikan mendadak kos input makanan jagung dan soya merangkumi 70 peratus kos penternakan ayam.

“Dengan peningkatan kos pengeluaran maka pihak industri telah mengemukakan kepada kerajaan supaya harga kawalan dinaikkan.

“Sekiranya tiada intervensi daripada Kerajaan, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini akan melebihi RM10.00 sekilogram,” ujar beliau.

Katanya lagi, harga runcit RM8.90 ini merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa Perayaan Deepavali, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7-31 Disember 2021 dan RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari 2022.

Penetapan harga baru runcit ayam ini ditampung melalui subsidi Kerajaan sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil, katanya.

Alexander dalam kenyataan yang sama juga berkata, beberapa ketetapan rakyat-centric bersabit dengan industri pengeluaran ayam dan telur juga telah diputuskan dalam mesyuarat NACCOL tersebut:

  1. Harga telur ayam semua gred kekal seperti harga maksimum runcit Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.
  2. Pelaksanaan kedua-dua harga siling runcit ayam dan telur ini bermula 5 Februari sehingga 5 Jun 2022. Walaubagaimanapun, harga siling runcit ini akan dikaji dari masa ke semasa bergantung kepada faktor-faktor yang mempengaruhi pengeluaran ayam dan telur ayam negara.
  • Permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain. Mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar (Hypermarket).

KPDNHEP juga ingin menyatakan sokongan terhadap keputusan proaktif kerajaan dalam memastikan Dasar Sekuriti Makanan Negara sentiasa terjamin bukan sahaja dari segi bekalan tetapi juga pada harga yang tidak membebankan rakyat Malaysia:

  1. Menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit sebagai alternatif kepada jagung dan soya yang diimport sepenuhnya sebagai makanan ayam.
  2. Mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian.
  • KPDNHEP akan memastikan pelaksanaan arahan Kerajaan kepada agensinya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk membuat siasatan berterusan bagi memastikan tiada wujudnya kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur.

“Semua ketetapan termasuk pelan tindakan jangka panjang yang diputuskan akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam Mesyuarat Taskforce Pelaksanaan yang akan dipengerusikan oleh MAFI dan akan dilaporkan dalam mesyuarat NACCOL akan datang,” katanya. – SM

(Visited 356 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button