Berita

Amalkan integriti, akauntabiliti dalam tadbir urus – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan semua bahawa tadbir urus yang mementingkan integriti dan akauntabiliti akan mendidik masyarakat supaya mengamalkan sikap yang lebih positif.

Jika sesebuah organisasi itu ingin mantap dan berjaya, maka pembudayaan tadbir urus yang baik di kalangan warganya merupakan kemestian dan perlu sentiasa disuburkan.

Tadbir urus yang baik juga secara langsung mahupun tidak langsung akan dapat menggalakkan budaya dan nilai yang lebih baik dalam kalangan rakyat bagi jangka masa panjang.

Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat merasmikan ‘Kilang Capal Dr Saad’ yang baru sahaja siap diperbesarkan saiz bangunannya di Kampung Chemumar Tengah, Simpang Empat, Perlis baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh pemilik syarikat Sentuhan Budi Trading, Saad Saep yang telah beroperasi di lokasi yang sama sejak penubuhannya pada tahun 2001 dengan moto ‘Memartabatkan Warisan Capal’ dan turut mendapat sokongan dan bantuan daripada Pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, tadbir urus yang baik bukan sahaja membawa manfaat kepada sesebuah organisasi itu, malahan para pelanggan juga akan mendapat faedah daripadanya.

Sementara itu, Mohd Nazim menerangkan bahawa di peringkat MAIPs, mereka sentiasa mencuba untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dari masa ke semasa bagi memudahkan urusan pelanggan terutamanya di kaunter-kaunter. Menurut beliau, ‘Pelanggan diharap tidak perlu lagi menunggu dalam tempoh yang panjang. Perkhidmatan dalam talian atau secara digital juga ditawarkan bagi lebih memudahkan pengguna berurusan dengan MAIPs, selain dapat melakukan pelbagai urusan walaupun selepas waktu pejabat’.

(Visited 366 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button