Haramkan DAP – Tuan Ibrahim
KUALA LUMPUR – Terdapat sekurang-kurangnya tiga bukti ini menjadi asas bahawa agenda DAP semakin bahaya kepada politik negara.
Malah, tindakan tersebut bercanggah dengan pembentukan asas kenegaraan dan Perlembagaan Persekutuan.
Ekoran itu, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man meminta parti cauvanis itu diharamkan.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Beberapa isu kontroversi telah dibangkitkan oleh DAP akhir-akhir ini.
Pertama, saya telah mengemukakan bukti ucapan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong (DAP) dalam forum Naratif Malaysia Baru yang diadakan pada 14 September di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor. Saya telah mendesak pihak polis menyiasat ucapannya, “The Kingdom of God is an unstoppable mission, and the reason is simply this, God Himself will act on it, and that is our unshakebale confidence”.
Kedua, pemimpin DAP yang bertaraf Ahli Dewan Undangan Negeri telah ditangkap kerana didakwa terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam). Ketua Polis Negara juga telah mengakui bahawa penahanan terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan LTTE adalah berdasarkan bukti kukuh dan hasil risikan PDRM. Hal ini menunjukkan bahawa penangkapan pemimpin DAP yang dikaitkan dengan LTTE bukan satu tindakan politik tapi demi kepentingan negara.
Ketiga, Kementerian Dalam Negeri semalam (23 Oktober) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan buku komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang ditulis oleh aktivis DAP, Hew Kuan Yau dan pengantarnya ditulis oleh Setiausaha DAP, Lim Guan Eng. Menurut KDN, buku ini telah mempromosi ideologi komunisme, sosialisme, menyebarkan fakta salah, mengelirukan dan juga mempertikaikan perjuangan tokoh terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.
Sekurang-kurangnya tiga bukti ini menjadi asas bahawa agenda DAP semakin bahaya kepada politik negara. Malah, tindakan tersebut bercanggah dengan pembentukan asas kenegaraan dan Perlembagaan Persekutuan. Maka dengan ini wajarlah DAP diharamkan.
Sekian, terima kasih.
TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)