Politik

Malaysia baharu, mentaliti politikus terus jumud

SUARAMERDEKA: “Tegur sikit suruh berhenti,” rungut Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Dr. Maza. Rungutan itu membuatkan saya terfikir apa bezanya kerajaan hari ini dengan kerajaan sebelum ini?

Apa bezanya pemimpin hari ini dengan yang sebelum ini? Bila ditegur sedikit sahaja terus berang dan mencabar orang letak jawatan serta bertanding di dalam pilihan raya. Apakah peranan rakyat ini hanya mengundi mereka untuk dijadikan pemimpin dan selepas itu tidak lagi boleh menegur setiap kesilapan yang dibuat. Maka terpaksalah bertahan untuk lima tahun dengan kerenah pemimpin yang dipilih tanpa boleh ditegur.

Selaku Mufti Perlis dan cakap beliau didengar oleh rakyat pelbagai lapisan, tidak kurang juga beliau sering mengadakan ceramah di luar negara serta sangat dihormati, tetapi tidak boleh menegur ahli politik di dalam negara sendiri.

Mungkin umum tahu Maza sangat akrab Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan saya percaya apa yang ditegur oleh beliau ikhlas dan mungkin juga luahan Dr. Mahathir yang tidak dapat dilontar dari mulutnya.

Bagi saya Dr. Maza tidak perlu melayani politikus yang berfikiran jumud, walaupun mereka kononnya mahu menjuarai perubahan. Suasan sama pernah berlaku di Indonesia seorang tokoh agama yang digelar sebagai kiyai sejuta umat dan beliau sering mengkritik pemimpin politik.

Bagaimanapun apabila beliau memutuskan untuk bertanding pada pilihan raya di bawah tiket parti politik beliau terus kehilangan aura dan sokongan sejuta umat. Bahkan penyokong parti lawan terus membenci beliau sehingga ke akhir hayat beliau. Nama beliau tidak lagi menjadi bualan masyarakat dan saya yakin ramai tidak lagi mengingati namanya.

Pagi ini saya agak terharu apabila membaca tulisan Dr. Maza di Facebook peribadinya kerana semalam saya sempat menyapa beliau dan berbual pendek. Untuk berlaku adil saya akan memetih secara terus luahan hati beliau.

Berikut coretan Dr. Maza di Facebook beliau:

Alhamdulillah, saya seingat hidup ini memang mengelak dari meminta apa-apa jawatan. Bahkan saya juga tidak bercita-cita bergelar Dato, atau apa saja gelaran kebanggaan melainkan hal-hal akademik. Saya menerima gelaran sebagai penghormatan kepada pihak yang memberi.

Tiba-tiba timbul cerita minta jawatan dengan parti tertentu. Sehari dua saya baru tahu bagaimana muncul cerita fitnah itu. Ada pihak hantar kepada saya status FB seorang YB PKR Perlis. YB berkenaan saya secara peribadi pun tidak kenal melainkan setelah dia menjadi YB. Itupun jarang bercakap dengannya. Saya terus menghantar ingatan kepada beliau agar jangan mengada-ngada cerita bohong dan fitnah. Alhamdulillah, beliau membuat status barunya.

Kedua, saya juga ingin mengingatkan semua dan juga beliau bahawa di Perlis para sahabat Nabi s.a.w dihormati dan SYIAH tidak diajar dan disebarkan. Maka, elok berhati-hati dalam hal itu.

Ketiga, sebagai tambahan perkongsian maklumat untuk mengelakkan pembohongan, saya -alhamdulillah- bukan sahaja tidak pernah meminta jawatan daripada boss parti beliau atau sesiapa sahaja, bahkan saya menolak tawaran boss partinya untuk saya memegang satu jawatan yang amat besar dalam kerajaan. Jika dia ingin kepastian, dia boleh bertanyakan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang (beliau yang sakit dalam parlimen baru-baru ini, semoga ALLAH menyembuhkannya) yang pernah datang ke rumah saya menawarkan jawatan itu dan keesokannya boss parti beliau menelefon saya beberapa kali meminta keputusan dari saya. Saya telah menolak dengan hormat. Selepas itu -barangkali disebabkan tawaran tersebut- saya dipanggil oleh PM ketika itu dan memberi isyarat untuk saya menyertai kerajaan. Saya juga menolak dengan hormatnya. Alhamdulilah.

YAB Tun M juga beberapa kali bertemu saya sebelum PRU. Saya tetap tidak menyertai politik kepartian. Maka, saya harap beliau tidak perlu membuat apa-apa cerita tidak berasas yang boleh dikaitkan dengan saya.

Saya rasa jika ALLAH kehendaki, jawatan dalam politik tidaklah begitu sukar untuk dicapai oleh tangan saya. Namun setiap kita sering berdoa kepada ALLAH menyerahkan urusan hidup ini kepadaNYA, agar DIA menentukan apa yang terbaik untuk kita dalam urusan dunia dan akhirat. Mudah-mudahan ALLAH menunaikan doa hamba-hambaNYA yang memohon demikian daripadaNYA.

(Visited 192 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button