Nasional

Hala tuju UMNO akan dibincang dalam Biro Politik, Majlis Tertinggi – Zahid

HALA tuju UMNO selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan dibincangkan dalam Biro Politik UMNO dan seterusnya ke Majlis Tertinggi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan soal penting dan tidak sesuai diputuskan tanpa persetujuan bersama.

“Ini soal penting.Tidak sesuai saya bercakap atau memutuskannya tanpa persetujuan bersama.

“Kita sedang melakukan post mortem menyeluruh. Pimpinan parti boleh beri pandangan,” katanya dalam hantaran di twitter hari ini.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa keputusan PRN Sabah menunjukkan bahawa strategi dan kerjasama politik yang dimeterai tidak menguntungkan UMNO malah semakin memencilkan peranannya di negara di bawah bayu itu.

Mohamad berkata, daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, UMNO ketika ini ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS.

Oleh itu katanya, UMNO perlu fikirkan semula pendekatan politik berdasarkan apa yang berlaku di Sabah.

“Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka waktu panjang.

“Pengorbanan UMNO memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatan UMNO secara signifikan. Lebih menyedihkan, UMNO terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan untuk melemahkan UMNO. Janji yang dimeterai berkaitan potfolio kabinet pun hampir dimungkiri,” katanya.

Katanya, UMNO tidak boleh membiarkan episod pilihan raya Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’.

Justeru, tegas beliau, telah tiba masanya Presiden UMNO memberikan pedoman dan hala tuju jelas kepada parti dan semua ahlinya, tentang bagaimana mereka harus meneruskan kerjasama kita dengan saingan politik kita. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button