Sukan

Hafizh Syahrin disahkan cergas sepenuhnya, sertai FP1

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengesahkan sendiri bahawa dia telah disahkan cergas sepenuhnya dan akan menyertai kejuaraan motosikal dunia Grand Prix (GP) San Marino di Misano, Itali, hujung minggu ini.

Pelumba Oceanica Aspar Team itu tidak berdepan masalah untuk menyertai sesi latihan bebas yang bermula, hari ini di Misano World Circuit Marco Simoncelli.

Dalam kenyataannya di media sosial, Facebook Hafizh berkata: “Alhamdullilah saya cergas untuk berlumba, saya akan memberikan yang terbaik buat arwah nenek. Apis (Hafizh) rindu nenek (Al Fatihah). #teamHS #RezekiDariAllah #HS55 #KBS #UMW #GRANTT.”

Hafizh kehilangan nenek tercinta, Allahyarhamah Arbaieah Mohammed yang menghembuskan nafas terakhir akibat barah paru-paru, Isnin lalu.

Bagaimanapun, pelumba berusia 26 tahun itu terpaksa melupakan kesedihan tersebut dan terbang bersendirian ke Misano bagi menyertai GP San Marino, Selasa lepas.

Pada sesi latihan bebas pertama (FP1) yang baru sahaja berakhir sebentar tadi, Hafizh mencatat kedudukan ke-11 setelah mencipta masa sepusingan terpantas 1 minit 38.056 saat (s).

Berdasarkan keputusan awal itu, Hafizh mempamerkan prestasi memberangsangkan, jika mengambil kira keadaan semasa pelumba itu yang baru sahaja pulih daripada kecederaan.

Hafizh terpaksa berehat selama tiga minggu dan tidak dapat menyertai perlumbaan GP Styria di Red Bull Ring, Austria yang dilangsungkan di litar sama, dua minggu lalu di mana pelumba itu ditimpa kemalangan ngeri yang mengakibatkan dia ditimpa kecederaan.

Berada dalam kelompok 15 terbaik pada FP1, memberi petanda positif buat Hafizh dan mampu menyuntik semangatnya untuk bangkit dalam perlumbaan sebenar, hujung minggu ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button