NasionalSukan

Hafizh selamat jalani pembedahan tangan

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah selamat menjalani pembedahan bagi mengeluarkan besi pada tangan kanannya di Hospital Pantai Bangsar, semalam.

Anak muda berusia 26 tahun itu masuk ke bilik bedah pada pukul 9 pagi dan pembedahan tersebut yang diketuai oleh Dr. Ranjit berakhir pukul 2.30 petang.

Pembedahan tersebut bertujuan mengeluarkan dua besi yang dimasukkan di bahagian belakang tapak tangan kanan Hafizh selepas insiden kemalangan yang menimpanya pada 2016.

Pelumba yang kini bernaung bersama pasukan Moto2, NTS RW Racing GP bagi menghadapi musim 2021 berada dalam keadaan sihat sebaik menjalani pembedahan tersebut dengan ditemani isterinya, Noor Suzana Abdul Manaf.

Hafizh yang dipetik kenyataannya menerusi media sosial, Facebook beberapa hari lalu memberitahu, dia mengambil keputusan untuk mengeluarkan dua besi itu adalah demi keselesaannya.

Menurut sumber rapat dengan pelumba itu, Hafizh dijangka pulih dalam tempoh dua hingga tiga minggu dan sempat untuk membuat persediaan sebelum musim baru membuka tirai kejohanan pada 28 Mac ini di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.

Keputusan Hafizh itu diharap dapat membantunya berlumba dalam keadaan yang lebih selesa dan sekali gus, melonjakkan kembali prestasinya yang suram pada musim lepas.

Bekas pelumba Aspar Team itu mengakhiri aksinya musim lalu di tangga ke-21 daripada 35 pelumba setelah mengumpul 21 mata keseluruhan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button