Nasional

Had umur 65 baru boleh merasai duit KSWP, adilkah?

ANALISIS

SARANAN Ketua Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein mendapat reaksi negatif daripada kalangan mereka yang berpendapat, had umur pengeluaran wang KWSP tidak patut dinaikkan ke 65.

Memberi cadangan tanpa mengambil kira pandangan rakyat marhaen bukanlah satu langkah yang proaktif, jauh sekali dilihat sebagai satu langkah yang bijak.

Bayangkan berapa lama lagikah yang perlu ditunggu oleh kalangan pencarum yang layak untuk mengeluarkan wang KWSP daripada akaun satu dan dua jika had umur pengeluaran yang dibenarkan ialah 65 tahun.

Sepatutnya dikekalkan sahaja had umur pengeluaran KWSP pada 55 tahun atau pun 60 tahun kerana mungkin ada yang tidak berkesempatan untuk menikmati wang simpanan itu jika dipanggil menghadap Ilahi.

Memang rata-rata kita tahu wang KWSP itu adalah simpanan di hari tua, digunakan untuk sakit, demam, pening dan menunaikan haji bagi mereka yang menunggu dan membuat percaturan dalam kehidupan.

Wang KWSP bukan untuk joli katak tetapi itulah wang simpanan untuk kelangsungan hidup selepas mencapai usia emas iaitu 60 tahun ke atas.

Adilkah bagi golongan ini yang terpaksa menunggu lagi dan lebih lama lagi jika cadangan pengeluaran pada umur 65 tahun direalisasikan?

Tidak kiralah jangkaan yang dilakukan oleh institusi perbankan antarabangsa berkaitan dengan pencen sosial tanpa sumbangan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara.

Dan bukan semua yang memohon Bantuan Sara Hidup (BSH) B40 diluluskan permohonannya. Ada yang terpaksa menunggu dan membuat rayuan sehingga menimbulkan rasa bosan untuk mendapakan bantuan yang diperuntukan oleh kerajaan.

Fikirkanlah kalangan yang bekerja dan gaji yang dipotong setiap bulan selama bertahun-tahun lamanya untuk caruman KWSP menghampiri umur 55 atau 60 tahun, ‘terlepas’ untuk membuat pengeluaran kerana umur 65 tahun, baru boleh dikeluarkan.

Ya, 65 tahun kalau masih sihat dan kuat tetapi kalau pada umur itu, ditakdirkan kesihatan tidak memihak kepada tuan tubuh, berputih mata sahajalah jawabnya.

Rakyat mahu perkara yang simple, yang mudah dan bukan menyusahkan. Tidak perlu menjadi jagoan dengan memperkenalkan peningkatan had umur pengeluaran KWSP.

Sumbangan KWSP dalam sektor  ekonomi gig adalah pemberian sumbangan secara sukarela dan kelompok ini menyatakan mereka tidak mempunyai dana untuk membuat sumbangan sukarela.

Jadi kerajaan memperkenalkan geran berjumlah RM50 juta untuk mendorong ke arah sumbangan.

Penerimaan dalam kalangan kelompok pekerja ekonomi gig juga bercampur-campur, ada yang tidak mempunyai dana untuk membuat sumbangan sukarela.

Setengah pekerja juga mungkin tidak terdorong untuk memberikan sumbangan secara sukarela dan pekerja yang bukan dalam gig ekonomi inilah yang menunggu untuk menggunakan duit KWSP pada umur 55 atau 60 tahun.

Jika keadaan semasa dalam negara yang mempunyai populasi pekerja yang semakin berkurangan dan jumlah pesara yang semakin meningkat, apakah kelompok yang menunggu sekian lama untuk mengeluarkan wang KWSP pada umur 55 tahun, terpaksa berkorban 10 tahun lagi, baru boleh buat pengeluaran? – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button