Guru perlu mantapkan kemahiran teknologi – Raja Muda Perlis
RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa guru-guru di era ini perlu mempunyai kemampuan bersaing dalam semua aspek di samping memantapkan lagi diri di dalam mendepani dunia teknologi yang serba mencabar.
Sebagai pendidik, adalah menjadi keutamaan untuk sentiasa mewujudkan landasan pendidikan berkualiti sesuai perubahan dan inovasi semasa. Hal ini selaras dengan tahap pengetahuan pelajar yang semakin meningkat dan meluas dan menjadi satu bentuk cabaran baharu terhadap para guru.
Demikian titah baginda ketika berkenan merasmikan ‘Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis Tahun 2020’ secara dalam talian yang disiarkan melalui facebook Jabatan Pendidikan Negeri Perlis melalui alamat : http://www.facebook.com/jpnperlis/ pada pagi tadi.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri, Hj Mohammad Hj Abd Ghani, Ketua Pegawai Operasi, Bank Simpanan Nasional Perlis/Kedah, Azhar Othman dan Pengurus Cawangan Bank Islam di Perlis, Alimin Darus.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, sesungguhnya, peranan guru itu begitu besar dan menyeluruh. Bukan sahaja merangkumi aspek pertumbuhan dan perkembangan jasmani serta rohani, tetapi juga membentuk dan memupuk pelajar menjadi insan mulia dan seiring arus perubahan dan kemajuan semasa.
Guru adalah pemangkin kepada usaha melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dan berkualiti dalam semua aspek. Hal ini bertepatan dengan aspirasi negara ke arah melahirkan modal insan yang memiliki peribadi utuh dan mampan jati diri.
“Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baru“, merupakan tema Hari Guru tahun ini yang amat bertepatan dan perlu dihayati sepenuhnya oleh semua warga pendidik.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua guru-guru yang telah memperlihatkan komitmen dan dedikasi mereka dalam mendidik anak bangsa.
Semoga Sambutan Hari Guru tahun ini akan terus meniupkan semangat dan memperkukuhkan lagi azam semua warga pendidik untuk terus meningkatkan kualiti diri dan pendidikan, serta memartabatkan Perlis sebagai sebuah negeri ilmu seperti yang dihasratkan.
Tokoh Guru 2020 Peringkat Negeri Perlis dianugerahkan kepada Hj Abdul Hadi Osman manakala Tokoh Kepimpinan 2020 Peringkat Negeri Perlis disampaikan kepada Gahazali Kassim. – SM