Nasional

Ahmad Zahid sertai Persidangan Antarabangsa Pemimpin, NGO secara online

PBB terus digesa tangani isu rampasan tanah Palestin

MALAYSIA tetap menjadi jagoan dalam isu berkaitan dengan Palestin. Malam tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi salah seorang peserta dalam Persidangan Antarabangsa yang diadakan secara dalam talian (online) bersama-sama dengan para pemimpin Kerajaan, parti politik dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Menyuarakan pandangan bahawa Palestin sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia, Dr. Ahmad Zahid menyatakan bahawa UMNO dan Malaysia akan terus memberi sokongan kepada rakyat Palestin dan dalam masa yang sama, berharap agar masyarakat antarabangsa juga akan menangani isu Palestin ini dengan serius.

Seorang kanak-kanak Palestin ditangkap oleh sekumpulan askar Israel.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tegas Dr. Ahmad Zahid, mesti memainkan peranan yang lebih besar dalam melindungi hak rakyat negara itu.

“Keputusan Israel untuk mengambil alih secara paksa 30 peratus tanah hak rakyat Palestin, mestilah dihentikan segera.

“Ini adalah langkah yang salah oleh Tel Aviv. Palestine pastinya tidak mempunyai pilihan lain melainkan mempertahankan tanah mereka,” kata Dr. Ahmad Zahid.

Tambah beliau, keadaan itu boleh menyebabkan konfrantasi yang lebih serius dan ia mesti diselesaikan secara diplomatik dengan penyertaan kuasa-kuasa besar.

Seperti juga rakyat Palestin, kata Dr. Ahmad Zahid, ramai yang berharap agar PBB akan mencari jalan agar kemelut di Palestin dapat mencapai penyelesaian yang baik dalam masa terdekat.

“Kami di Malaysia sentiasa menyokong dan mendukung perjuangan rakyat Palestin. Dunia Islam mesti bersatu untuk membebaskan mereka daripada cengkaman kekejaman Israel,” kata Dr. Ahmad Zahid. – SM

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button