fbpx
Uncategorized

Hina Jata Negara: Tiada maaf bagimu

TIADA maaf kepada penghina Jata Negara. Itu kata Ketua Pemuda Pergerakan UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi terhadap permohonan maaf pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin.

Menurut Asyraf Wajdi, lafaz maaf tidak begitu mudah untuk diterima selepas lambang kedaulatan Negara dihina sebegitu rupa.

“Kami membaca kenyataan Chong Ton Sin yang dilaporkan Malaysiakini pagi ini bahawa pihaknya tiada niat untuk menghina lambang negara Jata Negara.

“Kata beliau, “walaupun kami tak sengaja, kalau sudah buat sesiapa rasa kurang senang, ada menyinggung perasaan mereka, itu saya minta maaf”.

“Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, ini bukan soal “sesiapa rasa kurang senang”. Malah tidak semudah itu lafaz maaf boleh diterima setelah penghinaan terhadap lambang kedaulatan Negara diperlakukan sebegitu rupa,” kata Asyraf Wajdi.


Menurutnya, martabat dan maruah negara seperti Jata Negara tidak sesekali boleh diperlekehkan sewenang-wenangnya.

Malahan undang-undang jelas memperuntukkan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pindaan 2016, yang mengenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar.

“Prinsip Undang-undang ada menyebut ‘Ignorantia Juris Non Excusat’ (Ignorance of the Law is No Excuse) bermaksud kejahilan terhadap undang-undang bukan suatu alasan.

“Justeru, Pemuda UMNO Malaysia tetap berpendirian bahawa tindakan tegas harus diambil kepada pihak yang didapati bersalah melakukan penghinaan terhadap lambang kedaulatan Negara termasuklah Jata Negara,” kata Asyraf Wajdi.

Penerbit buku kontroversi Rebirth hari ini memohon maaf berhubung gambar hadapan buku tersebut yang mirip Jata Negara.

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin berkata, pihaknya tidak berniat untuk menghina sesiapa atau apa-apa.

Menurutnya, bagaimanapun tanpa sengaja kulit buku itu telah menyingung perasaan orang ramai dan dia meminta maaf.

“Pada masa depan kita akan lebih sensitif,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.  -SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button