MahkamahNasionalNegeriUncategorized

Guru agama didenda RM12,000 perdaya dua wanita minta seks

Seorang guru sekolah agama didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah memperdayakan dua wanita dengan menawarkan pinjaman tidak wujud sehingga melakukan hubungan seks dan memiliki gambar lucah.

Tertuduh, Ahmad Saifullah Abdul Khalid, 33, membuat pengakuan tersebut selepas tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua yang dibacakan berasingan, tertuduh telah menipu dua wanita berusia 19 dan 33 tahun dengan memperdayanya untuk mempercayai tawaran pinjaman berjumlah RM300 dan RM2,000 adalah wujud.

Kesalahan itu kemudian mendorong mereka untuk melakukan hubungan seks dengannya yang mana mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan tertuduh.

Kesemua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12.40 pagi di sebuah hotel di Jalan PM 4, Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah pada 21 Mac 2023 dan pukul 11 pagi di lot 2039, Jalan Tebing Tinggi, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 1 Oktober 2023.

Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Selain itu itu tertuduh turut didakwa memiliki tujuh keping gambar lucah dalam telefon bimbit miliknya.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.50 petang di sebuah sekolah agama di Solok Gaung, Bukit Lintang, Ayer Molek dalam daerah Melaka Tengah pada 3 Oktober 2023.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengenali kedua-dua wanita itu melalui aplikasi WhatsApp dan Omi sebelum menawarkan mereka pinjaman wang dengan syarat melalukan hubungan seks dengannya.

Bagaimanapun, mereka tidak mendapat wang pinjaman yang dijanjikan selepas itu.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dengan alasan masih menanggung kedua ibu bapa, isteri yang masih belajar dan dua anak kecil.

Selepas mendengar rayuan daripada tertuduh mahkamah kemudiannya menjatuhkan denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Bagi kesalahan memiliki gambar lucah pula tertuduh didenda RM5,000 atau dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda itu. – SM

BACA Guru agama maut ditembak di Pattani

BACA Guru agama rogol 13 pelajar ke tali gantung

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button