Politik

Guna Lexus ES: Pemuda PH Perak dakwa MB Perak tidak sensitif

PEMUDA Pakatan Harapan Perak mengecam tindakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menukar kereta rasminya dari Toyota Camry ke Lexus ES Sedan.

Mereka berkata, penukaran jenis kenderaan tersebut menunjukkan satu lagi sikap hipokrasi dan tidak sensitif dengan keadaan rakyat dalam menempuh cabaran dan tempoh sukar menangani masalah ekonomi akibat serangan covid-19.

Dalam satu kenyataan mereka turut mempersoalkan alasan bahawa Lexus tersebut dibeli apabila salah seorang daripada bekas Penasihat Undang-Undang Negeri bersara dan meminta untuk membeli Camry pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran di luar.

“Persoalannya, adakah kenderaan yang dijual itu merupakan unit yang diperuntukkan kepada Pegawai tersebut atau unit yang digunakan oleh Faizal Azumu?

“Sekiranya kenderaan tersebut merupakan unit yang digunakan oleh Pegawai tersebut sebaiknya kenderaan baru untuk menggantikannya perlulah yang sepadan dan dalam julat harga yang setara dengan harga asal kenderaan tersebut.

Related Articles

“Mengapa Faizal pula yang mendapat kenderaan baharu yang berharga lebih mahal daripada Toyota Camry yang digunakan oleh Exco dan Pegawai Eksekutif yang lain?” tanya mereka.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim, Ketua Pemuda DAP Perak, Chaw Kam Foon dan Ketua AMK Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri.

Menurut mereka, keputusan membeli kenderaan baharu dengan harga yang tidak sepadan dengan yang digunakan oleh Ahli Majlis Kerajaan Negeri dan Pegawai Eksekutif lain adalah satu tindakan mementingkan diri.

Tindakan itu juga tidak mengambil kira keadaan ekonomi negeri yang terkesan dengan pandemik covid-19.

Semalam Ahmad Faizal berkata, kereta yang digunakannya sebelum ini diserahkan kepada Exco baharu.

Menurutnya, kerajaan negeri pada pertengahan tahun lalu 16 unit Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi barisan Exco kerajaan negeri dan tiga pegawai kanan kerajaan.

Bagaimanapun, sebuah telah dijual kepada bekas Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Rohana Abdul Malek dengan harga lebih RM100,000.

“Beliau nyatakan hasrat untuk membeli salah satu kereta tersebut dan kita setuju jual memandangkan beliau merupakan Penasihat Undang-Undang negeri yang paling lama berkhidmat.

“Apabila Penasihat Undang-Undang negeri yang baharu datang dan semua Exco sudah dilantik, saya berikan kereta saya kepada salah seorang Exco untuk digunakan, itu sebab kita kurang satu kereta,” katanya.

Menurutnya, kereta Lexus ES Sedan tersebut dibeli dengan harga diskaun antara RM40,000 hingga RM50,000 memandangkan model tersebut dikeluarkan pada tahun 2019.

Pada Jun tahun lalu, semasa Pakatan Harapan memerintah, kerajaan negeri Perak telah membeli 16 unit kereta Toyota Camry terbabit bagi menggantikan kereta Proton Perdana yang dibeli pada tahun 2014.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button