Nasionalpilihan

Gudang tidak berlesen simpan beras bersubsidi nilai RM2.1j dirampas

Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah berjaya merampas 645.75 tan metrik pelbagai gred beras termasuk beras putih import (BPI) yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta di sebuah gudang di Sibu, Sarawak.

KPKM dalam kenyataan memberitahu, serbuan dilakukan oleh sepasukan Penguatkuasa KPB bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) melalui operasi bersepadu OP TARING BRAVO 3 yang dijalankan di sekitar Sibu, Sarawak pada 15 hingga 16 Mei 2024.

Hasil pemeriksaan mendapati premis perniagaan berkenaan tidak mempunyai lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522]. KPB telah menyita stok beras tersebut berserta dokumen-dokumen yang berkaitan bagi siasatan lanjut di bawah Akta 522 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 P.U (A) 624.

Siasatan turut dijalankan terhadap syarikat tersebut sama ada terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu beras putih import.

Mulai 5 Oktober 2023, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan subsidi BPI sebanyak RM950 per tan metrik peringkat borong bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dengan harga jualan runcit adalah tidak melebihi RM31.00 per kampit bagi 10 kilogram.

Tindakan menyeleweng barang bersubsidi adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang membawa kerugian kepada negara dan mengakibatkan rakyat tidak dapat membeli barangan itu.

KPB sentiasa berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan negara iaitu MCBA, PDRM, JKDM, KPDN dan APMM dalam mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi mengekang pihak yang cuba menyeleweng BPI di Sabah dan Sarawak termasuk cubaan membawa keluar beras tersebut dari sempadan negara.

KPB memberi peringatan kepada semua pemegang lesen supaya mematuhi perundangan di bawah Akta Kawalan
Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Tindakan tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhinya.

Orang awam diminta menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan padi dan beras melalui Portal Aduan KPB https://skpb.kpkm.gov.my/adu atau hubungi Ibu Pejabat KPB, Putrajaya di talian 03-88701751/1748/1183. – SM

(Visited 24 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button