Bola SepakSukan

Gol Firmino letak Liverpool di puncak liga

TANDUKAN kencang Roberto Firmino pada hujung aksi membolehkan Liverpool merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris daripada Tottenham Hotspur yang terpaksa akur menerusi kekalahan 1-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Anfield, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Liverpool yang mempamerkan persembahan dominan sejak awal saingan akhirnya beroleh ganjaran apabila rembatan Mohamed Salah pada minit ke-26 yang gagal di tampan kemas Tony Alderweireld menerjah masuk di sudut atas pintu gol yang dikawal Hugo Lloris, untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0.

Bagaimanapun, Spurs bangkit menyamakan kedudukan, selepas Son Heung-min yang menerima hantaran Giovani Lo Celso mudah menewaskan penjaga gol Reds, Alisson Becker tujuh minit berselang.

Steven Bergwijn dan Harry Kane turut berpeluang meletakkan Tottenham di depan, tetapi kedua-duanya mempersiakan kesempatan yang ada, sebelum percubaan Sadio Mane melepasi palang gol dan pertemuan itu seolah-olah hampir berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Namun, Firmino melompat tinggi hasil sepakan sudut pada minit ke-90, untuk menghadiahkan tiga mata penuh kepada skuad bimbingan Jurgen Klopp itu dan sekali gus, menyaksikan Reds melonjak ke kedudukan teratas carta liga.

Bagaimanapun, pengurus Tottenham, Jose Mourinho jelas tidak berpuas hati dengan kekalahan tersebut apabila menyifatkan pasukan yang kalah iaitu skuad bimbingannya merupakan pasukan yang lebih bagus berbanding juara bertahan, Liverpool.

Bercakap kepada Amazon Prime, Mourinho menjelaskan apa yang sedang difikirkan dan dia tidak dapat menahan dirinya daripada bersikap sinis terhadap Klopp selepas perlawanan apabila dia memberitahu pengurus Liverpool itu bahawa pasukan terbaik adalah yang kalah.

“Saya beritahu kepadanya pasukan terbaik adalah pasukan yang kalah. Dia (Klopp) tidak bersetuju. Itu pendapatnya,” kata Mourinho.

Pengendali dari Portugal itu turut melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap tingkah laku rakan sejawatnya itu sewaktu di tepi padang.

“Jika saya bersikap seperti Klopp di tepi padang, saya tidak akan berada di situ, saya pasti akan diperintah keluar padang.

“Itu satu sikap teruja? Teruja? Atau anda mahu saya merampas skrin pencatat masa daripada pengadil keempat (merujuk kepada perbuatan Pep Guardiola)?”

“Saya tidak mempunyai masalah dengan mereka. Pengadil yang membiarkan dia menunjukkan tingkah laku sedemikian. Ia bukan masalah saya. Saya cuma sedih kerana saya tidak boleh bertindak seperti itu,” tambah Mourinho.

Klopp ketika ditanya pendapatnya mengenai komen Mourinho, kelihatan keliru dengan soalan yang diajukan kepadanya.

“Bahasa Inggeris saya rupanya sangat teruk berbanding apa yang saya fikirkan. Dia berdiri di sebelah saya, anda bertanya kepadanya? Saya ingat dia berkata pasukan yang kalah adalah lebih bagus. Ia tiada kena mengena dengan tingkah laku saya di tepi padang,” ujar Klopp yang kelihatan terpinga-pinga. – Mirror – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button