Uncategorized

GISBH sesat atau tidak, diketahui selepas dapat perkenan Majlis Raja-Raja

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, sebarang keputusan untuk mendakwa Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings mengamalkan ajaran sesat atau sebaliknya bukan ditentukan oleh menteri.
Beliau berkata, keputusan mengenai perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) yang dijangka bersidang pada bulan depan.
Katanya, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada MRR, Mohd Na’im berkata ia perlu dibawa ke persidangan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang berlangsung esok.
“Saya tidak hendak ulas lanjut sebab isu ini di bawah bidang kuasa negeri. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya menyelaras sahaja. Kita sudah ambil tindakan segera untuk kertas itu dibincangkan oleh MKI esok.
“Isu ahli mereka perlu bertaubat, pemulihan dan sebagainya, kita tunggu keputusan MRR. Saya tidak boleh mendahului mereka nanti ada kata menteri pula keluar fatwa, mana boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64, di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata keputusan perbincangan Jawatankuasa Muzakarah MKI itu akan dibentangkan kepada Pengerusi MKI Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta Timbalan Pengerusi yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button