Gejala pemandu mabuk: Kebimbangan Pulau Pinang tidak lagi selamat
RAMAI yang bimbang dengan situasi semasa apabila berlaku peningkatan kemalangan pemandu yang mabuk sehingga meragut nyawa orang lain.
Ini jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa kita belum cukup bersedia untuk menangani isu tersebut, setelah beberapa pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri membenar penjualan serta pengambil arak secara terbuka.
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang berkongsi kebimbangan itu melalui artikelnya yang disiarkan di dalam Harakahdaily:
BAHANA pemabuk yang memandu hingga mengakibatkan kemalangan telah menjadi ‘pembunuh’ nombor satu dalam senarai tragedi mutakhir ini. Ia semakin berleluasa seolah-olah tidak terbendung lagi dan menjadi satu ancaman besar yang boleh menimpa sesiapa sahaja.
Lebih berat apabila isu ini ‘memangsakan’ pihak lain yang tidak bersalah; bukan sekadar kecederaan kritikal, tetapi hingga meragut hilang nyawa pergi tidak mungkin berganti lagi. Disebalik ‘pembunuhan’ dan ‘pemangsaan’ ini ‘lahir’ pula mangsa lain, yakni keluarga yang ditinggalkan.
‘Pemangsa’ pula, setinggi-tinggi hukuman sekadar didenda maksimum RM6,000 dan digantung lesen kenderaan selama 5 tahun. Malah, setelah itu, ia akan hidup seperti sedia kala dan bebas, bahkan mungkin akan terus meneguk arak, mabuk dan ulang memandu lagi dan merisikokan bahaya.
Soalnya, itukah ‘nilai’ sepadan kepada nyawa yang melayang dan kesan kejiwaan serta kehidupan kepada waris mangsa? Di mana suara pejuang Hak Asasi Manusia? Pada minggu lalu sahaja, dua kemalangan di sebelah Seberang Prai yang menyebabkan tiga maut dan seorang masih bertarung nyawa di hospital.
Lima beradik kini menjadi yatim dan masa depan mereka tidak menentu dalam keadaan si ibu pula sedang kitikal. Bahkan pasangan ibu bapa pula sedih kehilangan anak harapan keluarga akibat tragedi ini. Malapetaka malang ini mengisi antara statistik negara yang hingga kini tidak dibela sewajarnya.
Anehnya, sehingga kini tiada reaksi padu daripada pihak kerajaan memerintah yang diterajui Pakatan Harapan, walhal sudah bertalu-talu harapan musnah antaranya akibat tragedi ini. Sekadar adapun, ulasan bersifat ‘lepas tangan’ daripada pimpinan atau Menteri berkaitan yang menunjukkan lemahnya mereka.
Atau apakah sebenarnya pesalah kejadian ‘dilindungi’ kerana mereka ‘penyumbang’ tegar cukai kepada kerajaan dari arak yang dilanggah? Atau kerana arak itu perlu terus diproduktivitikan untuk menambahkan hasil pendapatan ke buku akaun Kementerian Kewangan dan menampakkan angka besar pertumbuhan ekonomi?
Inilah sebenarnya ‘untung secupak, rugi segantang’ yang hanya menjadi agenda kerajaan tidak berteras kemanusiaan dan ukhrawi tetapi mengejar materialistik dan duniawi semata-mata. Sehingga kekalutan dan bencana terbentang di depan mata tetapi mereka masih buta dari hakikat kerosakan terhidang.
Tanpa perlu diwacana dan dihujahkan mahupun disangkal lagi, arak adalah punca kepada segalanya ini. Peringatan mengenainya telah dikhabarkan Tuhan dan para Nabi, bahkan tokoh pembawa agama sejak dahulu kala. Tetapi kedegilan dan bebal menyebabkan arak diagung sebagai kemegahan dan kemewahan.
Tiada penyelesaian terulung melainkan punca masalah pemabuk ini mesti ditangani diakar isunya iaitulah arak. Negara mesti tegas dan berani untuk mengecilkan pengeluaran dan penjualan arak terhad serta tertutup secara kawalan lebih ketat lagi khusus. Malah, peminumnya mesti menerima ‘didikan khas’.
Tetapi Pulau Pinang menjadi negeri yang bakal menempa ‘Zaman Gelap’ kerana banyaknya jualan arak di mana sehingga November 2018, terdapat 464 premis dari 277 lesen. Bibit keburukan arak di masa kini akan menggelap gelitakan negeri ini dengan pelbagai masalah sosial yang membiak dari arak.
Angka tersebut tidak termasuk lingkaran perjudian yang turut dilesenkan. Bersamanya ada dadah, pelacuran dan pelbagai jenayah lagi yang sudahpun disuarakan kebimbangannya oleh pihak Polis berdasar peningkatan statistik semasa. Apakah ini petanda Pulau Pinang akan menjadi negeri tidak selamat?
Jika Kerajaan PH hari ini bersungguh-sungguh melakukannya ke atas rokok, kenapa ia tidak kepada arak? Ia boleh direalisasikan jika PH punyai ‘political will’ dan tanpa kepentingan. Bahkan, ia lebih mendesak, utama dan perlu segera berbanding kesalahan jalan raya seperti ‘baby car seat’ dan selainnya.
“Islam Memimpin Perpaduan”
USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang