Nasional

Kedah tidak akan jual pasir, batu kepada Pulau Pinang – Sanusi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mengisytiharkan tidak akan menjual pasir dan batu kepada negeri Pulau Pinang bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI).

Menurut Sanusi, projek berkenaan hanya dilaksanakan untuk kepentingan orang kaya semata-mata kerana rumah yang dibina bakal dijual pada harga tinggi bagi mendapatkan semula modal menambak pulau tersebut.

Sedangkan masalah paling mendesak ialah keperluan perumahan membabitkan penduduk miskin di pulau berkenaan dan ia tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri yang ditadbir oleh DAP.

Justeru, kata Sanusi, rakyat Pulau Pinang perlu berhenti memberi sokongan kepada kerajaan DAP di Pulau Pinang.

“Penduduk Pulau Pinang bukannya fanatik dengan DAP, tetapi mereka tidak mempunyai pilihan dan kini Perikatan Nasional (PN) memberi alternatif untuk rakyat berkenaan membuat pilihan,” katanya ketika berkempen sempena pilihan raya negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Sebelum ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) juga menggesa kerajaan Pulau Pinang menghentikan sepenuhnya penambakan di selatan pulau itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata projek itu akan diteruskan dengan pembinaan hanya satu daripada tiga pulau buatan yang dirancang di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.

“Hanya Silicon Island (Pulau A) seluas 2,300 ekar (930.7) akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun bagi kerja-kerja tambakan, manakala Pulau B membabitkan keluasan 1,400 ekar (566.5 hektar) dan Pulau C seluas 800 ekar ( 323.7 hektar) tidak diteruskan,” katanya pada sidang media di Georgetown.

Namun presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menggesa kerajaan negeri supaya tidak terdesak melaksanakan penambakan itu, sama ada untuk satu atau tiga pulau.

“Menamakan satu pulau sebagai Pulau Silikon dan usaha untuk menarik pelancong tidak boleh menjadi jawapan kepada soalan yang telah berulang kali kami tanyakan: Apakah keperluan untuk penambakan dengan kesan ekologi dan sosial yang negatif?

Projek PSI itu mendapat bantahan daripada masyarakat nelayan dan kumpulan alam sekitar di negeri ini, yang mengatakan ia akan merosakkan ekosistem marin di kawasan tersebut.

Kumpulan alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia dalam pada itu berkata Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baru perlu dilaksanakan, memandangkan perubahan dalam konsep pembangunan.

Laporan asal kelulusan EIA untuk projek itu diberikan bulan lepas.

Bagaimanapun Presiden SAM Meenakshi Raman berkata EIA baharu perlu dilakukan kerana projek itu kini hanya melibatkan satu pulau.

“Contohnya, perlu ada penilaian kesan hidraulik dan hidrologi yang baharu meliputi aliran semasa, paras air, keadaan ombak, pemendapan dan hakisan dan lain-lain lagi,” katanya.

“Selain itu, kajian penghijrahan udang yang perlu dilakukan lebih awal di bawah EIA yang baharu diluluskan itu masih belum selesai.

“Komponen penting ini perlu dinilai memandangkan penambakan Pulau A melibatkan kawasan seluas 2,300 ekar, yang masih sangat ketara dari segi kesannya kepada hidupan marin, penghijrahan udang, keterjaminan makanan dan sebagainya.”

Meenakshi dalam satu kenyataan berkata, keperluan projek itu juga telah berubah kerana kerajaan Persekutuan kini menyediakan dana yang diperlukan untuk menangani isu pengangkutan di Pulau Pinang.

Katanya, ia susulan pengumuman pada 6 Mei bahawa Putrajaya akan memberikan peruntukan tambahan untuk membantu kerajaan Pulau Pinang mempercepatkan cadangan projek LRT Georgetown-Bayan Lepas.

Mohideen dalam kenyataannya memetik perjanjian ini, berkata terdapat juga tanah yang mencukupi di Pulau Pinang untuk pembangunan ekonomi.

“Jadi kenapa  perlu penambakan laut yang begitu luas?” tambahnya.

(Visited 848 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button