Hiburan

Gambar Siti Nurhaliza diguna untuk tujuan ‘scam’

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi amaran keras terhadap individu yang menggunakan gambarnya untuk tujuan penipuan (scam).

Penyanyi lagu Kuasa Cintamu itu berkata, dia telah mengesan beberapa akaun Facebook yang menggunakan gambarnya.

“Saya harap sesiapa yang membuat akaun tersebut untuk menipu dan memperdaya orang lain supaya berhenti.

“Jangan ambil kesempatan terhadap orang lain dengan menggunakan gambar saya pula.

“Perkara ini bukan sahaja boleh mendatangkan fitnah, tetapi juga menganggu reputasi saya,” katanya.

Menurut Siti lagi, satu daripada akaun tersebut cuba menipu orang dengan menawarkan wang tunai dan memberikan syarat tertentu untuk mendapatkan wang tersebut.

Ujarnya, orang ramai perlu sentiasa membuka bina mereka supaya tidak terpedaya dengan aktiviti penipuan seperti itu.

“Kepada pemilik akaun tersebut, sila padamkan atau kami akan ambil tindakan tegas.

“Kepada yang lain jangan terpedaya kerana saya hanya mempunyai satu akaun Facebook rasmi sahaja iaitu ctdk dan tidak ada akaun lain,” katanya.

Dalam pada itu, Siti turut memberitahu yang ada juga akaun yang menggunakan gambarnya untuk tujuan berniaga.

Jelasnya, dia tiada masalah untuk menyokong perniagaan sesiapa pun apatah lagi dalam keadaan semasa di mana ramai yang terjejas daripada segi ekonomi.

“Tetapi jika disalah guna, menipu dan gunakan gambar saya untuk berniaga, ini perbuatan yang tidak betul.

“Janganlah berniaga dengan memperdaya orang. Carilah keberkatan di dalam apa jua yang kita buat,” ujarnya.

Siti turut meminta sesiapa yang ternampak akaun palsu yang menggunakan gambarnya supaya membuat laporan. -SM

(Visited 814 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button