Nasional

Fitnah: Pemimpin DAP mohon maaf kepada Annuar

PENGERUSI Kebangsaan DAP Tan Kok Wai mengemukakan permohonan maaf kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berhubung kenyataan fitnah mengaitkan Ahli Parlimen Ketereh itu dengan penjualan lot tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kok Wai yang merupakan Ahli Parlimen Cheras menyerahkan surat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah secara bersemuka kepada Annuar sebentar tadi.

“Saya menerima kunjungan mengejut Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai di pejabat saya sebentar tadi.

“Beliau menyerahkan surat pengakuan memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah terhadap saya 18 haribulan November lepas. Terima kaseh. Saya akan rujuk peguam saya,” kata Annuar ringkas di Twitternya.

Annuar telah menyerahkan notis guaman menuntut Kok Wai menarik balik, membuat permohonan maaf dan ganti rugi berhubung kenyataan fitnah pada 20 November lalu.

Selain Kok Wai Annuar turut menfaikan saman terhadap portal Malaysiakini dan ketua pengarangnya, Gan Diong Keng kerana menyiarkan artikel memetik kenyataan ahli Parlimen DAP itu.

Annuar menyaman Kok Wai dan Malaysiakini masing-masing sebanyak RM10 juta.

Pada 18 November, Malaysiakini menyiarkan artikel bertajuk “MP Cheras dakwa 42 plot tanah DBKL dijual sejak Annuar jadi menteri”, dengan mendakwa 42 plot DBKL terjual dalam tempoh 8 bulan terakhir Annuar berkhidmat sebagai menteri Wilayah Persekutuan.

Ahli Parlimen Cheras itu mempersoalkan apakah status penjualan  tersebut dan apakah penjualan itu dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Sebelum itu Annuar telah menafikan tuduhan yang dilemparkan Kok Wai. Annuar berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah telah menjatuhkan reputasinya serta DBKL.

Tegasnya sehingga kini, beliau sendiri tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada DBKL untuk menjual aset milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Pada 19 November, Annuar menafikan tuduhan berkenaan dan menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah dan tuduhan berat.

“Saya kecewa dan merasa sangat dukacita dengan dakwaan seorang ahli Parlimen yang sudah begitu lama berperanan sebagai wakil rakyat yang bertindak menyerang wakil rakyat lain, sedangkan beliau ada peluang untuk berucap dalam sidang Dewan Rakyat.

“Oleh kerana beliau memilih untuk berucap di luar Parlimen dan tindakan di luar Parlimen juga tertakluk kepada undang-undang tertentu.

“Jadi saya telah arahkan peguam saya untuk ambil tindakan undang-undang mengikut jalur dan proses sedia ada,” katanya.-SM

 

 

 

 

 

(Visited 642 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button