Parlimen

Anthony Loke gagal undi belah bahagi terhadap Ka Siong

BEKAS Menteri Pengangkutan Pakatan Harapan Anthony Loke Siew Fook gagal dalam usaha tidak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan.

Ahli Parlimen itu bangun meminta undi belah bahagi terhadap RUU tersebut tersebut sejurus selepas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong selesai melakukan pengulungan.

“Yang Dipertua saya memohon undi belah bahagi kerana menteri tidak jawab soalan,” kata Anthony. Serentak itu seramai 15 ahli Parlimen pembangkang bangung menyokong usul tersebut.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon membenarkan undi belah bahagi dilakukan.

Dewan Rakyat kemudian berhenti selama 10 minit untuk memberi masa kepada ahli Parlimen masuk ke dalam dewan untuk melakukan pengundian.


Apabila tempoh tamat Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun masuk menggantikan Mohd. Rashid mempengerusikan sidang.

“Kalau semua telah bersedia undian dijalankan sekarang,” kata Azhar serentak itu pintu Dewan Rakyat ditutup dan hanya ahli Parlimen dalam dewan dibenarkan mengundi.

Seramai 109 ahli Parlimen menyokong (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan dan 94 ahli Parlimen menolak manakala 19 ahli Parlimen tidak hadir.

Kementerian Pengangkutan menerima peruntukan sebanyak RM6.05 bilion dalam Belanjawan 2021.

(Visited 192 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button